SYDNEY - Seorang bayi perempuan menjadi tular di TikTok selepas ibu bapanya berkongsi mengenai keadaan bayi mereka yang dilahirkan dengan 'senyuman kekal'.
Ibu bapa kepada bayi Ayla Summer Mucha iaitu Blaize Mucha dan Cristina Vercha pada mulanya tidak sabar menantikan kelahiran cahaya mata pertama mereka, namun selepas dilahirkan mulut Ayla tidak seperti bayi lain.
New York Post melaporkan, bayi tersebut mengalami penyakit makrostomia iaitu keadaan sangat jarang berlaku apabila sudut mulut tidak bercantum secara normal semasa dalam kandungan.
"Blaize dan saya pada mulanya tidak menyedari keadaan mulut bayi kami seperti ini dan tidak pernah mendengar kes bayi dilahirkan dengan makrostomia.
"Ia memberi satu kejutan besar kepada kami," kata Vercha yang menetap di Selatan Australia memberitahu Jam Press.
Kajian pembandingan yang diterbitkan dalam Cleft Palate-Craniofacial Journal pada tahun 2007 menyatakan terdapat 14 kes direkodkan.
Walaupun kemungkinan makrostomia meningkat, keadaan ini disifatkan jarang berlaku dan ini kali pertama doktor di Flinders Medical Centre melihat kes tersebut.
Katanya, makrostomia boleh kembali normal semula apabila doktor menyarankan ibu bapa bayi tersebut melakukan pembedahan plastik. - Agensi