KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengenal pasti seorang calon yang sesuai untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dengan tajaan bagi Program Saintis Islam Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu memasuki edisi kelima dan pelajar cemerlang SPM berkenaan berjaya melalui beberapa proses pemilihan yang ketat.
"Sebagaimana komitmen kita dalam Belanjawan 2019, kita memperuntukkan RM15 juta bagi program biasiswa untuk anak-anak Terengganu, termasuk Program Saintis Islam Terengganu ini.
"Jika calon ini bersetuju untuk menerimanya, kita akan buat pengumuman, namun jika dia menolaknya atas sebab-sebab tertentu, kita akan pilih calon lain yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil 2018 dan sumbangan bagi program pendidikan 2019 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden dan Pengarah Kewangan ExxonMobil, Ernest Miller; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.
Kerajaan negeri memberikan penajaan biasiswa penuh kepada pelajar terpilih dan berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana, doktor falsafah (PhD) melalui Program Saintis Islam Terengganu itu.
Program itu bertujuan melahirkan Saintis Islam yang hafaz 30 juzuk al-Quran, mendalami ilmu Islam dan pakar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) sekali gus memartabatkan kegemilangan Islam di negeri ini.