Wan Kamal Mujani dilantik Timbalan Naib Canselor UKM

Iklan
UKM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu, berkuat kuasa Jumaat lepas (3 Jun).

UKM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Wan Kamal, 54, itu bagi mengisi jawatan berkenaan yang sebelum ini disandang oleh Profesor Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, yang telah tamat tempoh lantikannya pada 26 Mei lepas.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, beliau (Wan Kamal) telah menjalankan tugas sebagai Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat pada tahun 2021 sebelum dilantik ke jawatan sekarang,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, anak kelahiran Sungai Besi, Kuala Lumpur itu pernah memegang beberapa jawatan penting di UKM antaranya sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Strategi, Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB).

Iklan

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pusat Kembangan Pendidikan (PKP) dan Felo Bersekutu IKRAB serta beberapa jawatan lain.

Wan Kamal telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada 1992, Ijazah Sarjana dalam bidang Sejarah dan Bahasa Arab dari UKM pada 1997 selain memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Tamadun Islam dari University of Manchester, United Kingdom pada 2005.

Iklan

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam bidang akademik seperti Sejarah dan Tamadun Islam, Pensejarahan Muslim dan Teks serta Sumber Arab dalam Sejarah Islam, telah menjadikan bidang Pensejarahan Islam dan Sejarah Ekonomi di Timur Tengah, Levant & Mediterranean sebagai minat penyelidikan utama beliau.

"Pada masa ini, beliau sedang giat menjalankan penyelidikan tentang Muslim Kontemporari seperti Kelas Menengah Muslim, Syiling Dinar dan Mata Wang, Ekstremisme dan Keganasan, Kesederhanaan/Wasatiyyah, The Bottom 40, Arab Spring, Wakaf Pendidikan Tinggi, Federalisme di Malaysia, Indeks Syariah, Telaga Mampan dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas pelantikan tersebut selain berharap Wan Kamal dapat meneruskan kecemerlangan kepimpinan dalam menyerlahkan lagi penyelidikan dan inovasi universiti watan itu.

"UKM turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab atas sumbangan dan kepimpinan beliau dalam menerajui penyelidikan dan inovsi UKM sebelum ini,” katanya. - Bernama