KEHADIRAN pertahanan baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Akmal Zahir diyakini akan memberi nilai tambah kepada bahagian benteng skuad Sang Kenari dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Malah menurut pertahanan kental KDA FC, Rodney Celvin percaya bekas tonggak Melaka United FC itu mampu membentuk gandingan terbaik untuknya di benteng pasukan Hijau Kuning tersebut.
Jelas Rodney, Akmal merupakan pemain yang cukup berkualiti dan mampu membantu Kedah sepertimana yang pernah dia lakukan ketika bersama skuad Hang Tuah sebelum ini.
"Untuk baki perlawanan akan datang, saya rasa dia (Akmal) boleh beraksi sepertimana dia pernah beraksi dengan Melaka United...
"Kita tahu dia pun merupakan pemain pertahanan yang cukup baik jadi saya harap apabila dia dah datang sini (Kedah), aksi terbaik dapat dilakukan.
"Saya pula percaya saya dengan dia dapat bekerjasama dengan lebih baik untuk sama-sama bantu pasukan,” katanya.
Akmal yang sebelum ini beraksi bersama Melaka United kini disahkan menyarung jersi Hijau Kuning untuk membantu barisan pertahanan pasukan kali ini.
Untuk rekod, Sang Kenari selepas mengharungi sembilan perlawanan melakar empat kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan menduduki tangga keempat liga.
Saingan liga berehat sementara bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula Rabu ini.
Pada masa sama, pemain berusia 26 tahun itu menyedari bahawa persiapan yang cukup rapi perlu dilakukan untuk misi wajib menang dalam aksi seterusnya.
"Sekarang nampak jurulatih lebih fokus kepada aspek taktikal yang lebih baik untuk pemain lebih faham apa yang diinginkan.
"Mestilah kita nak menang dan kami pun sentiasa berbincang dekat sini bagaimana untuk bangkit balik lepas tak menang dalam empat perlawanan sebelum ini.
"Untuk saya, konsisten di atas padang sangat penting untuk kami terus meraih keputusan positif,” ujarnya.