‘Kami terpaksa tularkan anak sakit’

Iklan
Keadaan Muaz ketika dirawat di hospital. (Gambar Kanan: Kisah anak Nor Hayati kini menghidap jantung berlubang yang tular).
KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri di Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili di sini terpaksa tularkan kisah anak bongsu mereka yang menghidap jantung berlubang dan memerlukan bantuan.

Ibu, Nor Hayati Gulam Khan, 23, berkata, anaknya, Muhammad Muaz Shahruddin yang berusia 8 bulan bakal menjalani pembedahan jantung pada hujung bulan ini dengan kos RM80,000 di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurutnya, dia yang turut mempunyai dua lagi anak tidak bekerja dan hanya bergantung dengan pendapatan suami, Mat Ali Muda, 45, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah.

Katanya, sehingga kini sudah tiga kali Muaz ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) berikutan keadaan kesihatannya tidak stabil.

"Muaz tidak boleh demam atau sejuk. Dia disahkan menghidap sakit itu selepas lahir. Mukanya akan berubah kebiruan jika demam.

"Sewaktu mengandung saya tidak mengalami apa-apa masalah.

"Kini Muaz berada di HSA selepas dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) kerana doktor memaklumkan dia mengalami jangkitan paru-paru dan kekurangan oksigen,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, dia dan suami tiada pilihan lain selain menularkan melalui seorang kenalan untuk meraih ihsan orang ramai.

Jelasnya, bagi kos pembedahan, pihak Baitulmal akan membantu, namun untuk kos sampingan perjalanan dan sebagainya membuatkan dia dan suami buntu.

"Sesi persekolahan juga tidak lama lagi akan bermula. Kelengkapan anak untuk sekolah juga masih tidak beli apa-apa.

"Muaz pula berada di hospital. Suami hanya bergaji RM1,000 lebih. Kami juga tiada kemudahan kereta bahkan setiap kali melawat Muaz di hospital kami akan menunggang motosikal dari Tanjung Sedili ke HSA.

"Sebelum ini ketika ke IJN kami juga terpaksa menaiki bas kerana suami tidak mampu membeli kereta sendiri akibat kekangan kewangan,” katanya.