AUSTRALIA kini hanya selangkah untuk mengesahkan slot Piala Dunia 2022 Qatar selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 di Ahmad Ali Stadium awal pagi Rabu.
Pada perlawanan tersebut, Australia terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-53 apabila hantaran lintang Jackson Irvine pantas disudahkan Martin Boyle.
UAE juga tidak mengambil masa lama apabila menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Caio Canedo yang berjaya merobek gawang Socceroos menerusi rembatan kaki kirinya.
Pemain tengah Australia, Ajdin Hrustic muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol kemenangan selepas rembatannya terkena pemain UAE, Ali Salmeen dan menewaskan penjaga gol, Khalid Eisa.
Kemenangan Australia melanjutkan lagi kemarau UAE untuk penampilan pertama Piala Dunia sejak 1990.
"Walaupun pasukan berjaya memenangi perlawanan ini, tapi saya masih belum gembira sepenuhnya dengan prestasi pasukan.
"Saya rasa masih banyak peningkatan yang diperlukan pada masa akan datang," kata pengendali Australia, Graham Arnold.
Australia dijangka menentang Peru di stadium yang sama pada 13 Jun ini dalam usaha mereka untuk layak ke pusingan akhir kelima berturut-turut.