KUALA LUMPUR - Perang Rusia-Ukraine yang berpanjangan akan menyebabkan gangguan kepada keselamatan makanan dalam jangka panjang memandangkan sekatan terhadap Rusia akan memberikan impak buruk terhadap pasaran global, menurut penganalisis.
Naib Presiden Kanan Analisis Strategi Stratfor, Rodger Baker berkata, tidak dapat dipastikan sama ada Eropah atau Amerika Syarikat akan segera mengubah sekatan ke atas Rusia sebaik sahaja ia berlaku.
"Tidak mungkin sekatan ke atas Rusia ini akan ditarik balik dalam tempoh dua, tiga, empat, lima tahun atau lebih daripada itu,” katanya pada sesi panel bertajuk ‘Rusia-Ukraine: Order Baru Dunia dan Geopolitik dan Impak kepada ASEAN’ pada Persidangan Invest ASEAN 2022 pada Rabu.
Baker berkata, impak utama adalah terhadap pertanian global memandangkan ia merupakan pengeluar dan pengeksport hasil pertanian penting, manakala Rusia merupakan pengeskport baja utama.
Beliau turut memberi penekanan mengenai baja yang tidak cukup untuk mengusahakan tanaman dan pengurangan satu atau mungkin dua tahun tanaman melalui Laut Hitam.
Menurutnya, terdapat impak jangka panjang terhadap pasaran gas asli cecair global.
Selain itu, Baker berkata, keselamatan tenaga merupakan antara tumpuan utama daripada konflik itu dan terdapat perbincangan dalam kalangan penganalisis untuk mengembangkan tenaga alternatif.
"Banyak perbincangan mengenai perkara ini, memacu keperluan untuk mengembangkan tenaga alternatif dengan pantas. Ia juga mendorong kepada penyambungan semula, sekurang-kurangnya ruang sementara bagi batu arang, dan kebergantungan terhadap sumber tenaga setempat.
"Dalam jangka panjang, ia dijangka merangsang pengembangan kuasa nuklear dan pembangunan, terutamanya reaktor modular kecil,” katanya. - Bernama