Rosmah tarik balik tuntut rantai tangan berlian AS$220,500

Iklan
Rosmah - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik tuntutannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, terhadap rantai tangan emas putih bertatahkan berlian bernilai AS$220,500.

Ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, peguam Azamuddin Abd Aziz yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, barang kemas itu kini disimpan dalam bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Iklan
Iklan

"Anak guam kami tidak mahu lagi meneruskan tuntutan terhadap barang tersebut," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL mengesahkan perkara tersebut.

Iklan

"Penarikan tuntutan oleh Datin Seri Rosmah, telah menjimatkan masa dan kos semua pihak yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

Selain Rosmah, Global Royalty turut membuat tuntutan terhadap barang kemas itu

Iklan

Pada 31 Mac 2021, media melaporkan, Najib dan Rosmah serta Global Royalty Trading SAL, Samer Halimeh akan memeriksa 11,991 barang kemas yang kini disimpan dalam lebih 90 kotak di dalam bilik kebal di Bank Negara Malaysia (BNM).

Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018 yang didakwa ada kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, peguam Syazwani Mohd Zawawi yang mewakili Najib berkata telah menghantar representasi kepada pihak pendakwaan pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, ia berhubung tuntutan anak guamnya, selaku pihak ketiga terhadap tujuh jam tangan yang dituntut sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berkata, belum menerima maklum balas berkenaan representasi tersebut.

Mengulas isu itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi berkenaan dan ia masih dikaji.

"Kami juga memohon tarikh meminda notis usul berkaitan pelucuthakan harta iaitu 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.

"Pihak pendakwaan percaya pindaan notis usul tidak memprejudiskan mana-mana pihak dan dibuat sejajar dengan keperluan undang-undang,” katanya.

Selepas mendengar perkara itu, Hakim Muhammad Jamil menetapkan 26 dan 27 September depan untuk pendengaran seterusnya.

Pada prosiding 25 Mei lalu, Rosmah dan Global Royalty Trading menuntut seutas gelang berlian emas putih bernilai AS$220,500, manakala Najib menuntut tujuh jam tangan yang disimpan di bilik kebal Bank BNM.

Gelang dan jam tangan itu antara barang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan skandal 1MDB.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.