KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu pada Rabu menyerahkan insentif kepada 26 atlet kelahiran Terengganu yang berjaya memperoleh pingat pada temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam, melibatkan peruntukan keseluruhan RM86,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan (Shake) itu melibatkan wang tunai RM4,000 bagi pemenang pingat emas, perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000) dalam kategori individu.
Beliau berkata, bagi acara berpasukan pula, wang tunai RM2,500 bagi penyumbang pingat emas, RM2,000 bagi perak manakala RM1,500 bagi gangsa.
"Seramai 57 atlet kelahiran Terengganu telah terpilih mewakili negara ke Sukan SEA baru-baru ini dan 26 orang daripadanya berjaya mengharumkan nama negara dan negeri dengan kutipan 26 pingat pelbagai warna.
"Justeru insentif ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa serta usaha keras mereka dan ia tidak termasuk dalam insentif kemenangan yang diberikan oleh kerajaan pusat," katanya pada Majlis Pemasyhuran Ketua Kontinjen 'Chief de Mission' (CDM) Terengganu Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan Penyerahan Insentif Shake Sukan SEA Ke-31, Vietnam, di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dilantik sebagai CDM mengetuai skuad Sukma 2022.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah.
Atlet berbasikal lebuhraya, Nur Aisyah Mohd Zubir menerima insentif Shake terbesar berjumlah RM8,000 selepas menang dua pingat perak dan satu gangsa dalam temasya sukan berkenaan.
Menurut Ahmad Samsuri, insentif tersebut diharap dapat menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada para atlet untuk meningkatkan kecemerlangan di peringkat lebih tinggi.
"Pada September ini para atlet kita akan berjuang di Sukma pula dengan misi mempertahankan kejuaraan yang kita menangi di Perak pada 2018.
"Insya-Allah kita juga menyediakan ganjaran kepada mana-mana atlet Sukma yang berjaya memperoleh pingat yang akan kita umumkan sedikit masa lagi," katanya. - Bernama