KUALA LUMPUR – Padah gagal memberi penjelasan mengenai wang RM33,962 dalam akaun bank, seorang peniaga dalam talian didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Norhaslinda Abu Bakar, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki RM33,962 dalam akaun CIMB miliknya dan tertuduh tidak dapat memberikan penjelasan bagaimana wang tersebut diperoleh.
Kesalahan dilakukan di sebuah pangsapuri di Cheras pada 21 dan 22 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Undang-undang Kesalahan kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, pelatih dalam kamar, Tan Lai Joo yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan perlu menjaga empat anak berusia dua, empat, lapan dan 11 tahun.
"Anak guam saya mengaku cuai kerana beri akaun banknya kepada suami dan kini mereka dalam proses dalam perceraian,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana wang dalam pertuduhan melibatkan puluhan ribu ringgit,” katanya.