KUALA LUMPUR – Tindakan seorang tukang cat mencuri pelbagai barangan runcit di sebuah pasar raya di Cheras mengundang padah apabila dia dipenjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Yap Chong Chieh, 35, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.
Tertuduh dikehendaki menjalani hukuman penjara bermula Rabu dan tiga bulan lagi penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa mencuri dalam bangunan antaranya pewangi, kopi, coklat dan pelitup muka berjumlah RM513.10 di sebuah pasar raya di Kepong di sini pada 4.20 petang, 5 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pelatih dalam kamar (PDK), Yap Hui Yee yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum dengan alasan insaf atas perbuatan yang dilakukan.
"Dia perlu menjaga ibunya, isteri, bersama tiga anak mereka berusia satu, empat dan enam tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
"Ini kerana, tertuduh didakwa mencuri dalam bangunan melibatkan barang-barang yang banyak serta jumlah mencecah lebih RM500,” katanya.