SHAH ALAM - Malaysia mendesak agar ASEAN melantik utusan khas ke Myanmar bagi membincangkan isu berkaitan pelarian Rohingya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini kerana pelarian tersebut telah menyebabkan berlakunya pelbagai masalah antaranya keselamatan dan ia bukan sahaja kepada Malaysia namun di semua negara ASEAN.
"Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Atas dasar kemanusiaan, kami membenarkan mereka berada di Malaysia. Namun, ia tidak bermakna mereka boleh masuk begitu sahaja tanpa mengikut undang-undang.
"Masalah sebenar yang kita hadapi bukan mengenai mereka yang melanggar semua undang-undang. Masalah sebenar yang kita hadapi sebenarnya ialah orang yang tidak mempunyai dokumen.
"Kami ingin memastikan bahawa mereka yang tinggal di negara kita mempunyai identiti sendiri untuk kita memahami di mana mereka berada, tinggal dan bekerja,” katanya semasa sesi temu bual bersama Agensi Anadolu ketika mengadakan lawatan ke Turkiye selama seminggu.
Hamzah turut memaklumkan antara tujuan lawatan tersebut adalah ingin mengetahui bagaimana Turkiye menguruskan masalah yang dilalui Malaysia iaitu pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tanpa pengetahuan.
"Adakah adil untuk seseorang memberikan kad itu sebelum mendarat di negara. Ini tidak adil. Pada masa ini, mereka hanya mengeluarkan kira-kira 200,000 kad tetapi itu permulaannya. Ini adalah isu terbesar yang saya hadapi dengan UNHCR,” jelasnya.
Selain itu, Hamzah berkata, antara cara lain untuk menyelesaikan isu tersebut adalah dengan mengenal pasti pelarian yang ‘sebenar’.
Seterusnya, beliau mencadangkan satu bentuk kerjasama diadakan antara Myanmar dan Malaysia agar negara asal tersebut menerima rakyat mereka kembali.
"Kita boleh bercakap dengan mereka (Myanmar) dan menanyakan mengapa tidak membawa mereka (pelarian) pulang. Dan mungkin meminta kepada PBB untuk menerima Rohingya kembali ke negara mereka sendiri.
"Untuk melakukan itu, kita mesti mengenal pasti mereka yang sebenarnya berada di Malaysia,” jelasnya.
Mengulas mengenai kegagalan negara ASEAN dalam mengawal isu tersebut, Hamzah berkata, sebarang andaian atau keputusan tidak boleh dilakukan pada masa ini.
"Jika kita katakan ASEAN gagal dalam isu ini, patutkah (kita) juga mengatakan PBB gagal dalam banyak isu lain. Kegagalan ialah apabila anda mengetahui masa yang tepat diberikan kepada mana-mana negara lain untuk menyelesaikan isu seperti ini," tambahnya.