PEMAIN skuasy wanita utama negara, S Sivasangari akan menggunakan pengalaman dimilikinya dalam usaha memenangi gelaran pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan yang akan berlangsung dari 8 hingga 12 Julai di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.
Sivasangari yang mara ke separuh akhir kejohanan Antarabangsa El Gouna baru-baru ini berkata, pengalaman yang diperoleh menerusi kejohanan antarabangsa peringkat tinggi itu telah membantunya meningkatkan prestasi permainannya.
Bagaimanapun pemain berusia 23 tahun itu mengakui masih memerlukan lebih banyak latihan dalam teknik bertahan untuk kejohanan kebangsaan selepas memenanginya pada edisi 2018 walaupun ketika ini beliau lebih agresif.
Iklan
Iklan
"Saya sentiasa memastikan untuk tidak gentar kepada lawan dan sentiasa cuba untuk kekal dalam gelanggang selama mungkin bagi mendapatkan mata. Jadi saya belajar dan meningkat dengan lebih baik menerusi pengalaman dalam kejohanan antarabangsa tersebut.
"Pada kejohanan kebangsaan kali ini, saya menjadi pilihan pertama manakala Aifa Azman dan Rachel Arnold kedua dan ketiga, selain ramai pemain muda lain.
"Walaupun kami adalah kawan baik tetapi ia suatu yang berbeza di dalam gelanggang dan tentunya saya mahu menang gelaran itu. Jadi sebab itulah saya perlu benar-benar fokus dan berikanyang terbaik,” katanya pada sidang sidang akhbar.
Sementara itu pemain nombor 37 dunia, Rachel yang kini bebas daripada kecederaan berharap dapat mempamerkan permainan cemerlang pada kejohanan itu.
"Sudah lama saya tidak berhadapan Sivasangari dan Aida tetapi kejohanan ini kembali selepas setahun (dibatalkan), saya yakin dengan pengalaman dan cara permainan saya,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan