KUALA LUMPUR - Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dan empat syarikat konsesi lebuh raya yang menerima surat tawarannya telah memuktamadkan terma dan syarat draf perjanjian jual beli saham, menurut Gamuda.
Katanya, keputusan mengenai cadangan penjualan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak, pemegang konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) akan bergantung sepenuhnya kepada undian pemegang saham tidak berkepentingan yang hadir pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak Holdings), syarikat bersekutu 42.8 peratus, selain Gamuda.
Litrak Holdings mempunyai 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Litrak dan 50 peratus kepentingan dalam Sprint.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Gamuda berkata, Lembaga Pengarahnya berpandangan bahawa tiada pemegang saham syarikat mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, berhubung cadangan penjualan itu.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa Permodalan Nasional Bhd (PNB) merupakan pemegang saham terbesar Gamuda dan pemegang saham kedua terbesar Litrak Holdings (selepas Gamuda).
"Oleh itu, kami telah mengemukakan permohonan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) untuk mendapatkan persetujuan daripada Bursa Securities bahawa PNB adalah pemegang saham tidak berkepentingan dan justeru itu, PNB tidak diperlukan berkecuali daripada mengundi di EGM Gamuda yang akan diadakan (berhubung cadangan penjualan Litrak dan Sprint),” katanya.
Gamuda berkata, ia turut menyedari bahawa Litrak Holdings, melalui penasihat utamanya, turut mengemukakan permohonan sama kepada Bursa Securities untuk mendapatkan persetujuan bahawa PNB turut tidak berada dalam kedudukan konflik kepentingan dan PNB tidak diperlukan berkecuali daripada mengundi.
Bagaimanapun, Gamuda mengakui bahawa ia sendiri adalah pihak yang berminat untuk proses pengundian pemegang saham di EGM Litrak Holdings untuk cadangan penjualan Litrak dan cadangan penjualan Sprint, terutamanya berdasarkan peranannya sebagai perunding utama dengan ALR untuk semua penjualan yang dicadangkan.
"Oleh itu, Gamuda hendaklah berkecuali daripada mengundi di EGM Litrak Holdings yang akan diadakan berhubung cadangan penjualan Litrak dan cadangan penjualan Sprint (berhubung 50 peratus kepentingan langsung Litrak Holdings dalam Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd, atau Sprint Holdings),” katanya.
Lembaga Pengarah Gamuda hanya akan membentangkan resolusi untuk cadangan penjualan Kesas Sdn Bhd (berhubung 70 peratus kepentingan langsung Gamuda dalam Kesas Holdings Bhd), cadangan penjualan Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (Smart) (berhubung 50 peratus kepentingan langsung Gamuda dalam Projek Smart Holdings Sdn Bhd) dan cadangan penjualan Sprint (berhubung 30 peratus kepentingan langsung Gamuda dalam Sprint Holdings) di EGM yang akan diadakan.
Tanpa mengambil kira pendedahan di atas, Gamuda dan sekutunya Litrak Holdings menunggu keputusan Bursa Securities mengenai permohonan masing-masing.
"Sementara menunggu keputusan daripada Bursa Securities mengenai permohonan tersebut, PNB mungkin atau mungkin tidak berkecuali daripada mengundi mengenai resolusi berhubung cadangan penjualan di EGM Gamuda dan/atau Litrak Holdings,” menurut Gamuda. - Bernama