SHAH ALAM - Majoriti orang ramai menyedari bahawa penggunaan alatan fon telinga yang berpanjangan boleh membawa kepada kesan buruk iaitu masalah pendengaran.
Namun begitu, mereka mengakui perkara tersebut dipandang ringan disebabkan pelbagai faktor antaranya sebagai terapi pada masa lapang, tidak mahu sebarang gangguan luar dan juga faktor kerja.
Salah seorang pengguna tegar, Jesika Berlika Simatupang, 25, memaklumkan bahawa dia sangat gemar menggunakan alatan tersebut kerana mampu untuk menghindari daripada berlaku kemurungan terhadap dirinya.
Menurutnya, mendengar muzik dengan kelantangan yang maksimum dapat membuatkan dirinya merasa tenang pada masa lapang dengan tidak memikir perkara luar yang negatif.
"Saya sendiri cakna bahawa pendedahan berterusan kepada bunyi rekreasi yang kuat akan memberikan kesan sampingan kepada kesihatan pendengaran.
"Namun seperti yang kita tahu, muzik membantu terutama bagi mereka yang mengalami masalah kemurungan. Jadi bagi mengatasi isu ini, saya kerap mendengar muzik dengan kelantangan maksimum walaupun merisikokan kesihatan pendengaran saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jesika berkata, punca lain dia suka menggunakan fon telinga adalah kerana mudah rasa gelisah dan terganggu dengan bunyi luar yang bising seperti pengangkutan awam.
"Setiap hari saya pergi kerja menggunakan pengangkutan awam. Saya tidak selesa dengan bunyi yang ada di persekitaran. Jadi, ia juga menyebabkan saya cenderung untuk mendengar muzik dengan kuat,” ujarnya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan penggunaan fon telinga antara punca utama golongan remaja dan dewasa awal mengalami masalah pendengaran.
Ketua Program Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Syafira Ishak berkata, pendedahan terhadap bunyi melebihi 80 desibel (dB) secara kerap boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah pendengaran secara berperingkat.
Mengulas lanjut, pengguna lain yang juga seorang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia, Ahmad Afiq Othman, 23, turut mengakui bahawa dia kini mempunyai sedikit masalah pendengaran kerana kerap menggunakan fon telinga dengan kelantangan maksima.
"Saya kerap menggunakan alatan ini semasa saya menonton cerita, main permainan video. Dalam masa sama, akan meninggikan bunyi bagi mendengar dengan lebih jelas dan tiada gangguan dari luar,” ujarnya.
Turut mengakui perkara yang sama, pelajar universiti awam, Arifah Aqilah Muhamad Arifin, 24, berkata, pod telinga sering digunakan semasa dia melakukan tugasan universiti atau kerja rumah.
"Ia kononnya untuk diri saya mendapatkan semangat. Saya juga selalu menggunakan nada yang tinggi supaya lagu yang didengar itu tidak bercampur dengan suara luar,” ujarnya.
Berpada-pada
Sementara itu, pelajar dari Universiti islam Antarabangsa, Muhammad Nasrul Aimin, 23, berkata, anak muda seharusnya perlu lebih cakna terhadap perkara tersebut kerana ia memberikan kesan buruk pada hari tua.
"Saya sedar penggunaan fon telinga merupakan antara punca golongan remaja mempunyai masalah pendengaran kerana suka mendengar muzik dan bermain permainan video melampaui kadar yang sepatutnya.
"Saya turut gemar menggunakan alatan ini (pod telinga) kerana ianya memberi saya pengalaman yang lebih menyeronokkan dengan bunyi yang lebih jelas. Namun biarlah hanya dengan bunyi yang bernada rendah,” ujarnya.
Eksekutif Media Sosial, Fazlan Kamaruzaman, 26, pula mengakui tidak mengetahui bahawa dengan menggunakan pod telinga yang berlarutan akan menyebabkan masalah pendengaran.
Dia yang menggunakan alatan tersebut hampir setiap masa berkata, perkara tersebut seharusnya diketahui lebih awal agar dapat mengawalkan penggunaannya supaya tidak memberikan kesan terhadap dirinya.
"Saya memang tidak tahu bahawa ini akan mendatangkan kesan terhadap pendengaran. Saya memang selalu menggunakan pod telinga ini sehingga saya bawa kepada tidur. Mulai ini, saya cuma untuk mengurangkan kadar penggunaan,” ujarnya.