KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) negeri Kelantan menggesa kerajaan negeri mewujudkan pelan tindakan dan perlaksanaan yang lebih berkesan ke arah menurunkan kadar jenayah seksual di negeri ini.
Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, berdasarkan statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, perlakuan jenayah melibatkan gangguan seksual, rogol, cabul dan sumbang mahram di negeri ini menunjukkan trend peningkatan.
Katanya, sepanjang tahun 2021 sebanyak 228 kes jenayah seksual dilaporkan di Kelantan termasuk seks luar tabii manakala dalam tempoh lima bulan sejak Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 76 kes berbanding 84 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.
"Rakyat mengharapkan satu pelan tindakan serta perlaksanaan yang lebih baik ke arah cara hidup Islam dan kesejahteraan umat secara keseluruhan.
"Pemimpin Kerajaan Pas mesti bertanggungjawab dan tidak lepas tangan gejala seksual yang membimbangkan berlaku di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Kelantan walaupun telah memerintah selama 32 tahun dan
rakyat mahu melihat hasil indeks penurunan gejala sosial serta maksiat serta peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.
"Awan juga kesal dengan respon Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang seolah-olah menyalahkan netizen kerana memperbesarkan isu jenayah seksual sedangkan menjadi tanggungjawab kerajaan itu untuk menjaga kebajikan rakyat.
"Jika bersikap sambil lewa dan lepas tangan adalah satu pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, masih ada ruang untuk penambahbaikan dalam pemerintahan Pas di Kelantan.