LUMUT– Hadiah wang tunai dan hamper bernilai RM60,000 menanti pemancing dalam pertandingan Memancing Intergroup Surfcasting Challenge 2022 Ahad ini.
Pertandingan anjuran Kelab Memancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (MUPSAC) itu mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management selaku pengurus acara.
Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran berkata, acara berkonsepkan kumpulan atau kelab itu adalah yang pertama kali dianjurkan di negara ini.
"Pertandingan ini adalah yang pertama seumpamanya. Biasanya pertandingan memancing adalah berdasarkan terberat individu, tetapi bagi acara ini, ia mempertandingkan kejuaraan kelab atau kumpulan.
"Setiap kelab akan mempunyai 10 wakil dan pemenang pertandingan akan dinilai dari segi jumlah tangkapan secara keseluruhan,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Md Zali berkata, juara pertandingan itu akan membawa pulang RM15,000, naib juara RM4,000 dan ketiga RM2,000 manakala kelab yang menduduki tempat keempat hingga kesepuluh masing-masing menerima RM1,000.
"Selain hadiah kategori kelab atau berkumpulan, pertandingan ini turut menawarkan hadiah bagi kategori ikan terberat individu dengan juara bakal membawa pulang RM15,000, kedua RM4,000 dan ketiga RM2,000.
"Pemenang keempat hingga ke-50 juga akan pulang dengan hadiah wang tunai,” katanya.
Beliau berkata, pantai Lumut Waterfront sepanjang 1.2 kilometer itu kaya dengan pelbagai spesis ikan termasuk alu-alu, siakap, kerapu, pari, jenahak, tetanda dan lain-lain.
Yuran pertandingan bagi acara ini RM100 untuk satu joran dan sebanyak 600 kemeja-t ditawarkan kepada peserta yang mendaftar awal.
Penganjur turut menyediakan 650 sarapan pagi kepada peserta dan setiap kumpulan juga perlu menyertakan satu sesi fotografi sebelum pertandingan sebagai rekod penyertaan.
Pertanyaan mengenai acara ini boleh berhubung dengan penganjur di talian 0122141401, 0196203040 dan 0122329665.