Rasuah VLN: Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah satu pertuduhan pindaan

Iklan
Ahmad Zahid (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis, bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Bernama

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis atas satu tuduhan pindaan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula kepada Ahmad Zahid, 69, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin untuk meminda pertuduhan kedua.

Iklan
Iklan

Pertuduhan pindaan itu membabitkan pertukaran tarikh daripada April 2017 kepada 27 Mac 2018.

Sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa, Ahmad Zahid kemudian menjawab mengaku tidak bersalah.

Iklan

"Faham, mengaku tidak bersalah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri telah mendapat untuk dirinya, sesuatu benda berharga iaitu wang tunai RM3 juta tanpa balasan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang beliau mengetahui bahawa UKSB tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Iklan

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No. 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang pada 27 Mac 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid sedang berlangsung. - Bernama