KUALA TERENGGANU – Polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan bagi membantu siasatan kes penipuan tempahan rumah inap desa (homestay) yang tidak wujud di Jalan Pasir Panjang di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, pasangan itu masing-masing berusia 27 dan 26 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Dungun pada Rabu.
"Pada 3 Jun lalu, polis menerima satu laporan bersabit penipuan tawaran homestay yang tidak wujud di daerah ini.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Kuala Terengganu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Dungun pada Rabu.
"Selain menahan pasangan suami isteri, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad ATM (mesin juruwang automatik), SD Microkad dan kad sim,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan hasrat beberapa pelancong mahu menghabiskan percutian di Terengganu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap desa di sebuah kampung di daerah ini tidak wujud.
Seorang pelancong yang berjaya dihubungi, Masnawi Md Yusoff, 50, berkata, mereka sekeluarga mengalami perkara sama ketika ingin menyambung cuti di Terengganu setelah melawat beberapa lokasi di Kelantan.
Mangsa dilaporkan menempah rumah inap desa ini secara dalam talian pada pagi Jumaat dan telah membayar sejumlah RM245 untuk menginap selama dua hari, dua malam iaitu pada 5 hingga 7 Jun, namun terkejut apabila mendapati ia tidak wujud.
Susulan itu, polis meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan tempahan rumah inap desa (homestay) yang tidak wujud di Jalan Pasir Panjang di sini tampil membuat laporan polis.
Setakat Rabu, polis hanya menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang merupakan kakitangan kerajaan dari Terengganu berusia 25 tahun pada 3 Jun lalu.