Kad merah, penalti punca Harimau Muda tewas

Iklan
Antara aksi Harimau Muda ketika menentang Vietnam pada aksi terkahir kumpulan C kejohanan Piala Asia B23 di Tashkent Uzbekistan pada Rabu. Foto FAM

LAYANGAN kad merah serta sepakan penalti yang diberikan pengadil kepada Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan C saingan Piala Asia B23 dilihat menjejaskan prestasi Harimau Muda pada perlawanan tersebut.

Perkara itu diakui sendiri pengendalinya, Brad Maloney yang nyata kecewa dengan insiden terbabit selepas anak buahnya berjaya mempamerkan aksi yang baik di awal permainan.

Iklan
Iklan

"Sudah pasti ia mengecewakan apabila kami pulang dengan tangan kosong pada perlawanan ini selepas pemain berjaya beraksi dengan baik pada permulaan permainan.

"Kad merah dan penalti sebelum rehat separuh masa pertama mengubah corak permainan. Ia menyukarkan pemain saya, namun kredit harus diberikan kepada pasukan Vietnam," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Iklan

Pada masa sama, Maloney turut memberitahu perlawanan berturut-turut dalam tempoh enam minggu dilalui anak buahnya cukup memeritkan pemain negara namun mereka mendapat pengalaman berguna.

Pada perlawanan itu, pasukan Vietnam bermula dengan agak baik apabila berjaya memimpin perlawanan hasil jaringan Nham Manh Dung yang bijak menanduk masuk gol pertama pada minit ke 28 untuk kedudukan 0-1.

Iklan

Skuad muda negara terus diuji apabila Hairiey Hakim pula dilayangkan kad merah pada masa tambahan separuh masa pertama selepas bola terkena tangan.

Insiden berkenaan menyebabkan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Vietnam sebelum Bui Hoang Viet Ang memanfaatkan peluang itu untuk mengukuhkan kedudukan 0-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Dengan kekalahan itu, menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata dengan tiket suku akhir menjadi milik Korea Selatan dan Vietnam.