Perak sedia jadi destinasi pelaburan industri

Iklan
Saarani

IPOH - Perak sedia menjadi destinasi pelaburan berdaya saing bagi pelbagai projek industri selepas kawasan pembangunan di Selangor dan Pulau Pinang dilihat semakin sesak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan pada masa ini sedang melakukan inisiatif tambahan untuk mendorong lebih banyak pelaburan asing dan domestik seperti memperkenalkan insentif pelaburan dan memudah cara urusan kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah-langkah proaktif itu dilakukan bagi memastikan Perak kekal kompetitif menarik pelabur dan pemain-pemain industri untuk terus menyokong asas ekonomi negeri ini.

"Meskipun berdepan kesuraman akibat pandemik Covid-19 yang menyebabkan nadi ekonomi hampir terhenti, Perak masih mampu merekodkan jumlah pelaburan memberangsangkan sebanyak RM6.6 bilion sepanjang tahun lalu.

Iklan

"Nilai pelaburan tersebut melibatkan 137 projek merangkumi 43 projek daripada industri pembuatan dan 97 projek industri perkhidmatan terpilih.

"Jadi sudah tiba masanya negeri Perak menyediakan ruang atau lokasi industri lebih besar yang boleh ditawarkan kepada pelabur dan pemain-pemain industri yang merasakan bahawa di Selangor dan Pulau Pinang itu telah congested (sesak)," katanya dalam majlis pelancaran Taman Bersepadu Ipoh Raya di Simpang Pulai di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Pengerusi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Land Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Taman Bersepadu Ipoh Raya yang diilhamkan MRCB itu bakal dibangunkan di kawasan seluas hampir 333 hektar bermatlamat mewujudkan taman perindustrian tenaga efisien berasaskan teknologi hijau.

Tempoh projek yang dijangka siap pada 2043 itu melibatkan enam fasa pembangunan dengan beberapa ciri utama termasuk hab perindustrian berasaskan pertanian, logistik, managed park 1, 2 dan 3, kemudahan penginapan, latihan kemahiran vokasional dan teknikal.

Fasa pertama melibatkan pembangunan hab logistik dijangka siap pada 2028.

Saarani yakin, pelaksanaan projek Taman Bersepadu Ipoh Raya itu akan menjadi satu lagi 'game changer' bagi mengukuhkan semula asas-asas ekonomi dan meyakinkan pelabur baharu serta sedia ada memilih Perak sebagai destinasi pelaburan.

Katanya, melalui kebolehcapaian mudah serta jaringan saling hubungan ekosistem yang baik, projek terbabit dapat memperkasakan lagi koridor perindustrian dan menyediakan persekitaran perniagaan industri dan logistik yang efisien serta efektif untuk pelabur.

"Saya berharap pembangunan bersepadu ini bukan sahaja menarik pelabur berpotensi ke negeri Perak, tetapi juga menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk tempatan dan akhirnya memacu potensi Perak sebagai hab perniagaan utama dalam negara.

"Selain dari yang MRCB sediakan di Ipoh ini, kerajaan negeri juga buat persiapan untuk sediakan taman industri di Parit Buntar dan Tanjung Malim kerana akan beri ruang lebih besar buat kita memenuhi kehendak pelabur setelah Selangor dan Pulau Pinang tidak lagi dapat menyediakan tempat," katanya.