Kemas peruntuk RM1.5 juta bantu asnaf berdikari

Iklan
Mohamad Yasid (dua dari kanan) menyerahkan bantuan peralatan kepada salah seorang peserta Program Asnaf Berdikari Kemas Terengganu pada Khamis.

KUALA NERUS - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini untuk membantu 150 orang asnaf di seluruh negara meningkatkan taraf ekonomi keluarga melalui Program Asnaf Berdikari.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, melalui peruntukan itu setiap asnaf terpilih akan menerima bantuan kursus keusahawanan dan peralatan mengikut keperluan peserta bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebagai permulaan seramai 10 asnaf dari setiap negeri dipilih menyertai program tersebut dengan sasaran peningkatan pendapatan peserta sehingga RM3,000 sebulan hasil kemajuan bisnes masing-masing.

"Bagi menjayakan program yang baru dimulakan tahun ini, kita bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Agama Islam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Kesihatan negeri.

Iklan

"Sekiranya Program Asnaf Berdikari ini berjaya, kita mungkin akan tambah lebih ramai peserta di setiap negeri,” katanya selepas merasmikan Program Asnaf Berdikari Kemas Terengganu di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kemas Terengganu, Dr Faridah Mat.

Iklan

Sementara itu, Faridah memaklumkan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di kalangan murid taman bimbingan kanak-kanak (tabika) seliaan Kemas di Terengganu berada dalam keadaan terkawal.

Menurut beliau, setakat ini hanya tujuh tabika Kemas ditutup sepanjang penyakit tersebut dikesan di negeri ini melibatkan daerah Setiu, Dungun dan Kemaman.

"Kita sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan memantau kesihatan kanak-kanak yang hadir ke kelas bagi mengelak jangkitan HFMD di kalangan murid-murid," katanya.