Lima geng curi motosikal diberkas

Iklan
Motosikal yang berjaya dirampas dalam operasi yang dijalankan bermula 18 Mei hingga 1 Jun lalu. Gambar kecil: Shafee

BUKIT MERTAJAM - Seramai 21 individu termasuk dua wanita ditahan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) selepas didapati terlibat dalam kes kecurian motosikal sejak April hingga Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima buah kumpulan yang dikenali sebagai Geng Kupang, Geng Humairah, Geng Chot, Geng Pondok dan Geng Junjong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua individu itu ditahan dalam operasi oleh pasukan khas dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

"Operasi mula dilancarkan pada 18 Mei hingga 1 Jun lalu bagi mengesan sindiket dan individu yang terlibat dalam kes ini. Hasil risikan, polis berjaya mengesan beberapa kumpulan yang terlibat dalam kes kecurian motosikal.

Iklan

"Sebanyak lima sindiket telah ditumpaskan dengan rampasan 12 buah motosikal, tiga casis motosikal dan satu enjin motosikal. Dengan penahanan sindiket ini, kita berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian di sekitar Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Shafee berkata, tangkapan dibuat di sekitar Kupang, Baling, Sik, Junjong di Seberang Perai Utara dan Juru, Bukit Tengah.

Iklan

"Mereka yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 37 tahun yang mana, sebahagian daripada tangkapan tersebut mempunyai rekod lampau melibatkan rekod jenayah antaranya curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun serta boleh dikenakan denda," katanya.

Tambahnya, sebanyak 37 buah motosikal dilaporkan hilang di daerah Seberang Perai Tengah sepanjang April dan Mei tahun ini.