Keselamatan perlindungan jadi perhatian utama kerajaan: KSN

Iklan
Mohd Zuki

PUTRAJAYA - Keselamatan perlindungan sememangnya sentiasa menjadi perhatian utama pihak kerajaan sejak dahulu lagi, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Selain kewujudan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 untuk melindungi sebarang bentuk ancaman terhadap kerajaan, Arahan Keselamatan juga telah dipinda pada 2020 bagi menambah baik kualiti keselamatan perlindungan di semua agensi kerajaan terutama melibatkan perkembangan teknologi digital.

Iklan
Iklan

Beliau berkata Arahan Keselamatan dipinda setelah kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri mengeluarkan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 bertarikh 2 Januari 2020.

Pindaan Arahan Keselamatan itu melibatkan penambahan dua bab penting iaitu Bab 5 Keselamatan Rahsia Rasmi Dalam Persekitaran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) dan Bab 7 Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan.

Iklan

"Melalui pindaan ini, pengurusan keselamatan perlindungan kini memberi penekanan terhadap pelan keselamatan perlindungan yang sistematik, holistik dan terancang merangkumi persekitaran ICT," katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini pada Khamis.

Mohd Zuki berkata selain itu, pindaan tersebut memberi penekanan terhadap tadbir urus keselamatan yang berkesan demi menyediakan persekitaran keselamatan yang kondusif kepada aset dan kerahsiaan kerajaan seiring dengan keperluan semasa.

Iklan

Beliau berkata pengenalan dan adaptasi terhadap teknologi baharu yang menyokong operasi serta fungsi organisasi dilihat berupaya mendatangkan ancaman baharu yang perlu ditangani dengan berkesan seperti ancaman tradisional yang wujud dalam bentuk fizikal sebelum ini.

Teknologi baharu itu adalah seperti Internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), Data Besar, pembelajaran bawa peranti sendiri (BYOD) dan pengkomputeran awan.

"Cabaran baharu ini menuntut kerajaan untuk segera memperkasa pengetahuan, kemahiran dan memantapkan kepakaran khususnya dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan kemajuan teknologi dapat diadaptasi dengan selamat serta menyumbang ke arah pengukuhan keselamatan menyeluruh," katanya.

Dalam konteks tadbir urus, Mohd Zuki berkata langkah-langkah keselamatan diterapkan secara sistematik dan akan dipantau secara berterusan bagi memastikan sebarang isu-isu keselamatan dapat ditangani dengan efisien dan efektif.

"Dengan kombinasi program keselamatan perlindungan yang betul dan tadbir urus yang cekap, agensi kerajaan pastinya akan dapat mencapai persekitaran kerja yang selamat (secure), boleh dipercayai (trust) dan diyakini (confidence) serta dapat mengekalkan keyakinan orang awam dan pelabur," katanya. - Bernama