IPOH - Gara-gara salah faham, seorang tukang gunting rambut cedera di kepala selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan besi dalam kejadian di Felda Trolak Selatan, Sungkai, Isnin lalu.
Difahamkan kejadian itu berlaku apabila suspek berusia 35 tahun terlihat mangsa bercakap dalam nada tinggi seperti melenting terhadap ibunya ketika menggunting rambut.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan mendapati salah faham itu berlaku apabila wanita berusia 62 tahun sebenarnya mempunyai masalah pendengaran.
"Ketika berinteraksi mangsa yang pekak telah bercakap dengan nada tinggi. Ini menyebabkan suspek bengang dengan keadaan yang dianggap 'biadab' itu.
"Suspek telah memukul kepala mangsa dari arah belakang dengan menggunakan besi sebelum melarikan diri manakala mangsa berlari keluar dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Mior Faridalathrash berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Trolak Selatan telah menerima lima jahitan di kepala.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan dan merampas sebatang besi yang digunakan dalam kejadian itu.
"Mangsa bekerja mengambil upah dengan gunting rambut pelanggan dari rumah ke rumah.
"Hasil ujian urin mendapati suspek positif methamphetamin dan mempunyai 18 rekod kesalahan lampau melibatkan kes dadah dan jenayah," katanya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara bahaya.