SHAH ALAM - Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diadakan pada 12 November hingga 13 November 2022.
Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin setelah mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu.
Menurutnya, Perhimpunan Agung Sayap pula akan diadakan pada 10 November hingga 11 November 2022.
"Mesyuarat MPT telah menetapkan tarikh Persidangan Cawangan pada 19 Ogos hingga 18 September, Persidangan Bahagian pada 8 Oktober hingga 9 Oktober.
"Urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hamzah turut memaklumkan bahawa MPT sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai anggota MPT yang baharu.
Beliau berkata, selain perkara berkenaan pengurusan parti, mesyuarat MPT turut membincangkan isu-isu semasa terutamanya inisiatif untuk menangani isu kos sara hidup rakyat.
"Bersatu berpendirian bahawa kerajaan mesti mengambil langkah komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan serta keperluan harian mencukupi.
"Fokus utama mesti diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya.
Justeru katanya, Bersatu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksanakan di beberapa kawasan.
"Program ini mampu menjana pendapatan penduduk di samping menyediakan bekalan sayuran dan makanan dengan harga yang murah,” katanya.