KUALA LUMPUR - Saban tahun, penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sememangnya mempunyai tarikan tersendiri kepada rakyat Malaysia khususnya pencinta buku.
Mana tidaknya, dengan penglibatan ratusan pempamer dari seluruh negara, PBAKL pastinya menjanjikan tawaran bahan bacaan yang pelbagai dan menarik buat kelompok terbabit.
Pada penganjuran pesta tahunan itu, sudah menjadi satu kelaziman untuk melihat pengunjung membawa bagasi besar khas bagi memuatkan buku-buku yang dibeli.
Selain itu, keterujaan terhadap acara tersebut juga dapat dirasai apabila ada penggemar buku yang sanggup menempah hotel berdekatan venue PBAKL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bagi memudahkan kunjungan mereka.
Seorang guru, Nor Asyikin Mohamad Addenan, 35, berkata, meskipun acara PBAKL ke-39 kali ini diadakan berdekatan dengan tempat tinggalnya di Ampang, dia bersama keluarga mengambil keputusan menginap di hotel berdekatan satu malam bermula Rabu supaya mereka mempunyai lebih ruang dan masa untuk mencari buku diingini.
"Bila tempah hotel berdekatan ini, kita boleh datang banyak kali.
"Jadi kalau semalam (Rabu) kita dah kenal pasti buku yang kita nak, hari ini tinggal terus beli apa yang dihajati dan kemudian terus balik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di reruai Karangkraf di PBAKL, di WTCKL pada Khamis.
Mengulas mengenai tawaran buku yang disediakan di reruai Karangkraf, Nor Asyikin berkata, dia amat tertarik dengan pilihan buku kanak-kanak yang terdapat pada acara kali ini.
"Di sini saya memang cari buku kanak-kanak, anak-anak saya pun kecil lagi dan kita pun nak biasakan mereka dengan budaya ilmu.
"Antara yang menarik di sini tentunya siri buku cerita dan aktiviti Omar dan Hana. Sebelum ini saya pun memang dah beli set buku kanak-kanak ‘Little Adib’,” ujarnya yang mempunyai empat orang anak.
Siri nota My#QuranTime dapat sambutan
Dalam pada itu, Editor Buku Karya Bestari, Mohd Hasrul Wahab berkata, antara buku yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pada PBAKL kali ini ialah siri nota My#QuranTime.
Menurutnya, ramai pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan set naskhah itu yang penerbitannya sudah memasuki juzuk ke-14 dengan tawaran harga istimewa sempena pesta buku kali ini.
Hasrul berkata, antara kandungan menarik buku tersebut adalah penyediaan sinopsis ringkas bagi setiap surah, tajwid berwarna, tadabbur dan huraian bagi setiap ayat di dalam al-Quran.
"Kita boleh katakan buku ini mesti dimiliki oleh umat Islam di Malaysia kerana ia memudahkan kita untuk memahami isi kandungan al-Quran.
"Maknanya ia membumikan bahasa isi kandungan supaya kita dapat aplikasikan apa yang ALLAH SWT perintahkan dalam kehidupan kita bermula bangun sampai tidur kembali,” ujarnya.
Beliau berkata, satu set kotak My#QuranTime yang terdiri daripada lima juzuk buku nota itu kini dijual pada harga promosi RM135 kepada pemegang kad VIP Karangkraf.
Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Muar, Johor, Atiqah Syamilah Mat Azid, 29, berkata, nota My#QuranTime itu sememangnya membantu melancarkan pemahamannya ketika membaca al-Quran dengan nota ringkasnya dan bahasa yang mudah.
"Sebagai guru al-Quran, buku ini juga saya jadikan sebagai bahan rujukan dan bantuan ketika mengajar,” katanya.
Sementara itu, seorang graduan perubatan dari Universiti Al-Azhar di Mesir, NorSalwani Omar, 25, berkata, buku itu disyorkan untuk dibeli oleh ibu bapanya yang merupakan penonton setia program My#QuranTime terbitan TV AlHijrah.
Katanya, dengan memiliki buku terbabit, ia akan membantunya bagi mentadabbur al-Quran dengan lebih mendalam.
"Kalau kita tonton My#QuranTime itu kita hanya mendengar. Jadi kalau kita membaca sekali, ia akan menjadi satu bentuk ulangan yang akan meningkatkan lagi kefahaman kita selain turut membantu ingatan kita terhadap al-Quran," ujarnya.
PBAKL ke-39 yang bermula pada 3 Jun lalu akan dilangsungkan sehingga Ahad ini.