'Rombakan barisan jurulatih perlu dalam BAM' - Ewe Hock

Iklan
Ong Ewe Hock

ROMBAKAN dalam barisan kejurulatihan perlu dilakukan dalam usaha membantu pemain perseorangan negara dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meningkat pada kejohanan-kejohanan akan datang.

Disebabkan prestasi pemain perseorangan negara yang kurang memberangsangkan sejak beberapa bulan lepas, bekas pemain perseorangan negara Ong Ewe Hock secara terbuka telah memberikan pandangan beliau mengenai apa yang perlu dilakukan bagi menyelamatkan mereka.

Iklan
Iklan

"Dari segi kejurulatihan kena cari jurulatih yang boleh berikan peningkatan, bukan duduk sana tak boleh bantu tingkatkan prestasi.

"Sebagai contoh, jika anda melatih pemain elit, anda perlu pastikan mereka meningkat dalam satu atau dua tahun yang akan datang dan bukannya lima hingga tujuh tahun, kerana ia adalah tempoh untuk membentuk pemain. Saya berharap BAM akan berikan perhatian kepada perkara ini,” katanya ketika ditemui di pelancaran Piala Cabaran Fusionex Usahawan Muda SME di sini pada Khamis.

Iklan

Pemain ke-48 dunia Ng Tze Yong, kini merupakan pemain utama dalam BAM, selepas pemain nombor satu Malaysia Lee Zii Jia meninggalkan badan itu bagi menjadi pemain profesional Januari lepas.

Pada ketika tindakan Zii Jia menjadi pemain persendirian mula menampakkan hasil termasuk memenangi dua gelaran berturut-turut di Kejohanan Badminton Asia 2022 dan Terbuka Thailand baru-baru ini, pemain kebangsaan termasuk Tze Yong dan Leong Jun Hao masih bergelut untuk memberikan permainan terbaik mereka.

Iklan

Bukan sahaja barisan kejurulatihan, Ewe Hock, 50, turut menyarankan agar perlunya perubahan dalam pengurusan BAM bagi perubahan ke arah yang lebih baik dalam sukan itu.

Sementara itu pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1994 itu merasakan bahawa pemain beregu negara pada masa ini agak baik dan berharap kesemua mereka akan memberikan cabaran terbaik pada Terbuka Malaysia yang dijangka akan berlangsung dari 25 hingga 30 Jun.

Seorang lagi bekas pemain badminton negara Datuk Foo Kok Keong yang juga ada pada majlis itu berharap para jurulatih dapat meningkatkan tahap pada sesi latihan dalam usaha memastikan pemain negara menjadi lebih kuat dan meningkatkan ketahanan mereka ketika di gelanggang.

Piala Cabaran Fuzionex Usahawan Muda SME 2022 yang dianjurkan SME Malaysia akan menampilkan 16 pasukan dari seluruh negara bagi merebut gelaran serta hadiah wang tunai RM3,000.

Kejohanan tahunan itu akan dimainkan dalam format tiga terbaik - satu beregu campuran dan dua beregu lelaki - akan berlangsung pada 18 dan 19 Jun di Kelab Badminton Serdang, Selangor. - Bernama