Tempah lembu korban sejak Aidilfitri

Iklan
Zainol Abidin sedang memberi makan kepada lembu yang diternak di ladangnya di Jalan Sintok, Kedah.

BERBAKI sebulan sahaja lagi, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha termasuk melaksanakan ibadah korban.

Namun, peningkatan 30 peratus harga bagi seekor lembu pada tahun ini menimbulkan kebimbangan kepada para penternak kerana menjangkakan permintaan akan merudum.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, hasil tinjauan di beberapa buah negeri mendapati, slot tempahan korban sudah diisi sejak 1 Syawal lagi walaupun pengguna terpaksa berdepan dengan peningkatan harga ternakan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa pengusaha bakal gulung tikar.

Di KUBANG PASU, Fatimah MZ Agro Farm Sdn Bhd di Jalan Sintok di sini mula menerima tempahan bagi ibadah korban sejak 1 Mac lalu.

Iklan

Pengarah Urusannya, Zainol Abidin Mohamad berkata, setakat ini sebanyak 70 ekor lembu ditempah untuk ibadah berkenaan pada Julai nanti.

Menurutnya, kebanyakan tempahan diterima daripada masjid, syarikat korporat dan agensi sekitar utara.

Iklan

"Bagi seekor lembu, kami tawarkan harga antara RM4,800 hingga RM5,600.

"Untuk pelanggan yang ingin dapatkan dalam bentuk bahagian, kita tawarkan harga RM700 hingga RM850 bagi setiap bahagian,” katanya pada Khamis.

Menurutnya, permintaan lembu bagi ibadah korban kali ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu, walaupun harga lembu naik 30 peratus.

"Kesedaran umat Islam tentang kepentingan korban itu masih tinggi, lagi pun kita turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga Julai untuk tidak bebankan pelanggan,” katanya.

Dia juga yakin sasaran 200 ekor lembu pada tahun ini dapat dicapai memandangkan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha, awal Julai nanti.

Di KOTA BHARU, tukang sembelih haiwan korban tidak menang tangan menerima tempahan slot penyembelihan menjelang Aidiladha.

Muhd Mahuuzh Said, 31, berkata, pihaknya sudah mendapat tempahan untuk kerja-kerja menyembelih 200 ekor lembu pada perayaan itu nanti.

Muhd Mahuuzh Said (tengah) sewaktu sembelihan lembu korban pada Aidiladha yang ditempah pelanggan tahun lalu.

Menurutnya, kerja penyembelihan dilakukan bersama empat lagi penyembelih lain untuk diagihkan kepada umat Islam.

"Saya terima tempahan sejak Hari Raya Aidilfitri untuk slot penyembelihan 200 ekor lembu selama empat hari berturut-turut bermula Aidiladha pertama.

"Dua ekor lembu milik saya sendiri sudah habis kesemua bahagian ditempah oleh pembeli dengan harga jual RM700 setiap bahagian,” katanya.

Akuinya, kerajaan negeri juga belum mengeluarkan makluman berhubung prosedur operasi standard (SOP) perlaksanaan ibadat korban tahun ini.

"Biasanya dua minggu sebelum raya, kita akan dapat tahu (SOP Aidiladha) dan sangat berharap tahun ini ia lebih longgar melibatkan lokasi penyembelihan berbanding semasa Covid-19 dua tahun lalu.

"Lebih seronok jika ibadat korban dilakukan di kampung masing-masing berbanding mengikut SOP ketat di masjid-masjid,” katanya.

Seorang lagi tukang sembelih haiwan korban, Nazri Mohd Nawi, 39, berkata, sambutan kali ini dijangka meriah dengan kepulangan perantau.

"Saya sudah menerima tempahan untuk menyembelih 14 ekor lembu pada raya nanti.

"Lokasi sembelihan haiwan seeloknya tidak dilakukan di masjid kerana sukar untuk urus sisa haiwan penyembelihan melibatkan darah dan najis,” katanya.

Di MARANG, seorang penternak, Nor Faizi Mamat, 26, dari Kampung Bukit Parit di sini berkata, sebanyak 70 ekor lembu terjual kepada masjid, surau dan individu.

"Jualan dibuka sejak sebulan lalu dan saya sedang dapatkan 20 ekor lembu lagi bagi memenuhi pesanan pelanggan.

"Tahun lepas, hanya 50 ekor lembu mampu dijual dan tak sangka jumlahnya meningkat hampir sekali ganda kali ini walaupun harganya naik,” katanya.

Hari Raya Aidiladha tahun ini dijangka lebih meriah kerana perantau boleh pulang ke kampung menyambut perayaan bersama keluarga.

Menurut Nor Faizi, seekor lembu kampung dijual maksimum RM5,000 bergantung saiz berbanding RM3,500 hingga RM4,000, tahun lepas.

Beliau berkata, kenaikan itu menyebabkan harga untuk satu bahagian ibadah korban kini berharga antara RM650 hingga RM750 seorang.

"Mungkin sudah dua tahun kita tidak boleh menyambut Hari Raya Aidiladha secara bebas, jadi tahun ini masing-masing teruja untuk menunaikan ibadah korban,” katanya.

Di KOTA TINGGI, pemilik Desa Selatan Beef Sdn Bhd, Kamarruzaman Abdul Jalil berkata, kenaikan harga meningkat kira-kira 20 peratus disebabkan kerana kos makanan ternakan.

Kamarruzaman mengusahakan Desa Selatan Beef Sdn Bhd di Kota Tinggi yang membekalkan lembu dan daging lembu segar untuk musim perayaan.

"Dalam dua tahun sebelum ini, tiada permintaan untuk lembu korban kerana negara melalui fasa pandemik tetapi apabila masuk fasa endemik, banyak permintaan tetapi bekalan pula kurang.

"Harga seekor lembu korban sebelum ini RM4,500 tetapi kini mencecah sehingga RM5,400,” katanya.

Pihaknya sudah mendapat tempahan lembu korban antara 70 hingga 80 peratus sejak Aidilfitri lalu dan berterusan sehingga kini.