BERAKHIR sudah cabaran skuad bawah 23 tahun negara (B-23), pada saingan Piala Asia 2022 dan sekali lagi rakyat Malaysia terutamanya peminat bola sepak perlu menunggu sekurang-kurangnya dua tahun lagi untuk menyaksikan skuad Harimau Muda kembali beraksi di pusingan akhir.
Tewas ketiga-tiga perlawanan di peringkat kumpulan selain menjaringkan hanya satu gol berbanding dibolosi sebanyak sembilan kali jelas dilihat sebagai pencapaian terburuk skuad bawah 23 tahun (B-23) pada saingan Piala Asia B-23.
Jika pada edisi 2018 lalu, skuad B-23 negara berjaya mara ke suku akhir sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan, edisi kali ini pula menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney itu mempamerkan aksi serba ‘tidak menjadi’ pada saingan peringkat kumpulan.
Situasi sedemikian mungkin disebabkan tiada sasaran khusus kepada skuad Harimau Muda itu pada kejohanan-kejohanan yang disertai walaupun hanya melibatkan aksi-aksi persahabatan semata-mata.
Dengan menetapkan sasaran yang perlu dicapai, pemain-pemain sekurang-kurangnya sudah memiliki hala tuju atau matlamat yang perlu direalisasikan.
Bagaimanapun, sejak Maloney mengatakan tidak ada sasaran khusus yang disasarkan terhadap skuad kendaliannya itu pada Sukan SEA Hanoi 2021 Mei lalu, ramai peminat bola sepak tanahair termasuk penulis sudah mula ‘tak sedap hati’ khususnya dengan nasib dan hala tuju skuad Harimau Muda itu.
Oleh itu, biarpun aksi di Sukan SEA disifatkan sebagai aksi ‘pemanas badan’ sebelum beraksi di saingan Piala Asia 2023 nanti; kegagalan meraih sebarang pingat dalam acara bola sepak pada temasya dwi tahunan itu nyata menyerlahkan lagi ‘kepincangan’ yang dialami skuad Harimau Muda itu.
Ternyata, perkara yang dibimbangi rata-rata peminat bola sepak negara akhirnya menjadi kenyataan apabila skuad B-23 gagal menyerlah di Piala Asia 2022 sebagaimana yang diharap-harapkan.
Malah, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan skuad B-23 menjadi skuad ‘belasahan’ pada saingan Kumpulan C apabila tewas 1-4 kepada Korea Selatan 2 Jun lalu diikuti tewas 0-3 kepada Thailand (5 Jun) dan tewas 0-2 kepada Vietnam pada 8 Jun.
Justeru, mungkin sudah tiba masanya kegagalan ini diberikan perhatian serius oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), terutamanya dalam mengenal pasti punca kegagalan skuad B-23 negara ketika ini.
Ketika ini, sudah mula kedengaran pelbagai andaian terhadap status Maloney samada kekal atau tidak lagi melatih skuad Hairmau Muda selepas ini.
Pelbagai spekulasi juga timbul dengan mengaitkan nama beberapa jurulatih tempatan selain pembantu bagi ketua jurulatih skuad senior negara, Kim Pan-gon turut disebut-sebut selaku calon yang bakal menggantikan Maloney kelak.
Namun, apa juga keputusannya kali ini, mungkin sudah tiba masanya penstrukturan semula skuad B-23 negara perlu dibuat dalam usaha mengembalikannya sebagai antara pasukan yang digeruni.
Mungkin ‘set’ pemain baharu perlu dipanggil dalam usaha ‘pembentukan semula’ pasukan yang pada asalnya merupakan skuad B-20 tahun yang diketengahkan dengan menyertai kejohanan-kejohanan besar seperti Piala AFF, Sukan SEA dan Piala Asia B-23 sebagai persediaan untuk beraksi pada saingan kelayakan Suke Olimpik Paris 2024 nanti.
Ya, mungkin Sukan Olimpik Paris 2024 dilihat masih terlalu jauh namun persediaannya perlu dilaksanakan mulai sekarang dalam usaha memastikan skuad B-23 negara tidak pulang awal kali ini.
Apa pun, paling penting, sasaran perlu diletakkan lebih awal agar semua pihak melibatkan pihak pengurusan pasukan, kejurulatihan serta pemain dapat ‘berkerja’ berpandukan kepada ‘sasaran’ yang telah ditetapkan.
*Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian