SHAH ALAM - Semua masjid, surau dan musolla di Selangor dibenarkan untuk menjalankan ibadah korban pada tahun ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, mana-mana pihak persendirian, badan berkanun, agensi swasta, institusi dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dibenarkan menjalankan ibadah tersebut.
Bagaimanapun Zawawi berkata, mereka masih perlu mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) lain yang ditetapkan.
"Pentadbir masjid, surau, Musolla dan semua Jawatankuasa Pelaksanaan Ibadah Korban yang dilantik hendaklah memastikan pematuhan SOP perlu mengekalkan penjarakan fizikal yang bersesuaian.
"Selain itu, mereka perlu mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dengan kerap," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, kelonggaran SOP ibadah korban pada tahun ini turut memberi kesan kepada permintaan lembu dan kambing bagi tujuan tersebut.
Bagi seorang penternak lembu dan kambing di Kapar, Klang, Muhamad Fathullah Jamal berkata, jumlah tempahan kedua-dua haiwan tersebut meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Ujarnya, permintaan terhadap haiwan ruminan tersebut meningkat kerana haiwan-haiwan berkenaan kini boleh dihantar ke masjid-masjid untuk disembelih berikutan kelonggaran SOP dalam fasa peralihan endemik.
"Tahun ini (tempahan lembu dan kambing korban) meningkat sebanyak 20 peratus dan tempahan mula diterima selepas Hari Raya Aidilfitri tempoh hari.
"(Tahun ini) kita dah boleh hantar ke masjid-masjid, kalau tahun sebelum ini kita perlu bungkus sendiri dan tidak boleh berkumpul beramai-ramai (kerana kekangan SOP)," katanya.
Lain pula pendapat Pengasas Bersama Dr. Daging, Rabiatul Adawiyyah Mohmad yang mengatakan kenaikan harga lembu memberi kesan kepada jumlah tempahan yang diterimanya pada tahun ini.
Selain itu, dia berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima tempahan sebanyak sebanyak 300 kambing biri-biri, dan 150 ekor lembu lantaran pengurangan bekalan daging mendadak sewaktu Syawal lalu.
"Jumlah lembu dan kambing yang ada turut berkurang ketika Hari Raya Aidilfitri yang disambut secara mengejut, jadi permintaan daging yang tinggi ketika itu mengganggu bekalan lembu untuk Aidiladha.
"Walaupun permintaan tahun ini agak rendah, tapi saya harap akan ada peningkatan pada tahun depan," katanya.