Bekalan lembu korban dijangka berkurang

Iklan
Bekalan ternakan lembu dan kerbau tempatan bagi tujuan ibadah korban di Perak dijangka berkurang sehingga 1,300 ekor tahun ini.Foto kecil: Razman

IPOH - Bekalan ternakan lembu dan kerbau tempatan bagi tujuan ibadah korban di Perak dijangka berkurang sehingga 1,300 ekor tahun ini.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, bancian tahun semasa yang dilakukan mendapati, ternakan lembu jantan dan kerbau berusia lebih dua tahun adalah berjumlah 4,450 berbanding kadar penyembelihan yang dianggarkan 5,800 ekor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengurangan sebanyak 1,350 ekor itu bagaimanapun tidak menjadi masalah kerana masih mampu ditampung melalui lembu import.

"Berdasarkan kadar penyembelihan lembu dan kerbau pada musim perayaan Aidiladha tahun lalu adalah sebanyak 5,872 ekor dan dianggarkan jumlah yang sama pada tahun ini iaitu pada kadar 5,800 ekor.

Iklan

"Walaupun kita jangkakan berlaku pengurangan bekalan lembu, ia masih berada pada kadar yang mencukupi kerana dapat ditampung melalui lembu yang diimport," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, di Perak terdapat 1,323 penternak lembu pedaging dan 249 orang yang menternak kerbau merangkumi jumlah keseluruhan 67,666 ekor bagi kategori ternakan ruminan.

Iklan

Katanya, harga bagi bekalan lembu hidup juga masih terkawal iaitu di paras RM4,200 hingga RM5,500 seekor bergantung kepada berat dan saiz ternakan.

"Kerajaan akan memastikan harga ternakan lembu tempatan bagi tujuan ibadah korban berada dalam keadaan terkawal dan pihak pengguna masih mampu menikmati pada harga berpatutan," katanya.

Mengulas mengenai kenaikan harga makanan ternakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menawarkan bantuan insentif sebanyak RM300 bagi makanan ternakan ruminan melalui skim harga bersubsidi Dedak Isirong Sawit (PKC).

Jelasnya, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM500,000 bagi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang merangkumi bentuk bantuan peralatan kepada penternak seluruh negeri.

"Bantuan ini termasuklah satu unit mesin penggaul makanan mudah alih dan satu tong penyimpanan kedap udara serta kursus berkaitan rangsuman makanan ternakan kepada penternak dalam golongan B40 yang berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Razman berkata, kerajaan negeri masih belum menerima arahan daripada pihak Berkuasa Agama Negeri berkaitan pembatalan prosedur operasi standard (SOP) Penyembelihan Haiwan Korban Era Pandemik Covid-19.

Begitupun katanya, prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak berubah antaranya mewajibkan peserta korban mendapatkan Permit Sembelihan dan Sijil Kesihatan Veterinar.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di semua ladang penternakan bagi memastikan ternakan ini bebas penyakit.

"Jabatan juga akan menjalankan pemeriksaan daging ternakan yang disembelih melibatkan pegawai teknikal dan bahagian penguatkuasaan jabatan sepanjang program ibadah korban berlangsung," katanya.