HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kesal dengan tindakan dua individu selepas didapati membuang sampah secara haram di Desa Kelisa, Ulu Yam pada Rabu.
Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, individu tersebut dikesan membuang sampah bukan di tempat sepatutnya walaupun telah disediakan tong sampah yang jaraknya kurang 20 meter dari lokasi.
Menurutnya, MPHS menerima aduan tersebut pada hari sama dan pemilik kenderaan tersebut telah dikenal pasti serta akan dipanggil untuk siasatan lanjut.
"Terdapat tong sampah besar disediakan bagi pengumpulan sisa domestik yang jaraknya tidak sampai 20 meter dan masih kosong.
"Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang mengambil mudah dengan aktiviti tidak bermoral tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pelaku boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) 24(1), UKK Pemungutan, Pembuangan, dan Pelupusan Sampah Sarap (MDHS) 2007 dengan tawaran tidak melebihi RM1,000.
Tambahnya, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang selesa malah mengakibatkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan orang awam.
"Isu kebersihan bukan terletak pada tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja tetapi penduduk Hulu Selangor juga turut memainkan peranan sama bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan penduduk.
"Orang awam boleh melaporkan kepada MPHS sekiranya melihat aktiviti pembuangan sampah haram. Aduan boleh dibuat di pautan selangor.spab.gov.my atau hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) di talian 03-6064 1050," katanya.