Khutbah Jumaat di Perak seru ummah bantu atasi krisis bekalan makanan

Iklan
Gambar hiasan

IPOH - Hampir 50 buah masjid di Perak telah bergiat dalam aktiviti pertanian dengan memanfaatkan tanah-tanah yang diwakafkan menerusi tanaman sayur dan buah-buahan.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam khutbah Jumaat memberitahu, hasil daripada tanaman berkenaan dimanfaatkan bersama oleh penduduk kariah terutama dalam kalangan mereka yang sangat memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu satu perbuatan yang wajib dijadikan contoh teladan oleh semua jawatankuasa masjid terutama dalam keadaan negara berdepan krisis bekalan makanan ketika ini.

"Ummah tidak harus berdiam diri, sebaliknya hendaklah memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang dapat membantu menambahkan bekalan bahan makanan.

Iklan

"Manfaatkan tanah milik atau kawasan di sekitar kawasan perumahan dengan kegiatan bercucuk tanam.

"Semaikan minat dalam kegiatan pertanian dan ternakan, pelajari ilmu dan kuasai kemahiran pengurusan pertanian dan ternakan agar dapat membantu menambah pengeluaran makanan dalam negara," jelas inti pati khutbah berkenaan.

Iklan

Khutbah Jumaat bertajuk 'Utamakan jaminan bekalan makanan' itu mengingatkan bahawa pengurusan pertanian dan ternakan yang lebih berkesan diperlukan, demi memastikan bekalan bahan makanan tidak terjejas hingga boleh mengakibatkan berlaku kebuluran kepada ramai penduduk dunia.

Dalam hal itu katanya, kerajaan hendaklah mempertingkatkan kemampuan pengurusan bencana kerana kelemahan menangani kejadian seperti banjir besar dan hakisan tanah, boleh membawa kemusnahan terhadap usaha pertanian dan penternakan yang sedang dijalankan, menyebabkan kerugian besar kepada pengusaha dan ekonomi negara.

"Hendaklah diterima hakikat bahawa dunia sedang menghadapi krisis bekalan makanan, merangkumi aspek bekalan bahan mentah serta kos pengangkutan yang bertambah tinggi kerana harga minyak yang semakin meningkat.

"Akibat bekalan bahan makanan yang semakin kurang dan kos pengangkutan yang semakin tinggi, kini harga makanan dalam pasaran bertambah mahal.

"Jika tidak dilakukan langkah-langkah persiapan, dibimbangkan kemungkinan ramai manusia terutama dalam kalangan yang berpendapatan rendah dan miskin, sukar mendapat bahan makanan," katanya.

Khutbah yang dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak itu turut menyatakan, Malaysia ketika ini terlalu banyak bergantung kepada bahan makanan yang perlu diimport dari luar negara.

Jelasnya, pada tahun 2020, nilai import barangan makanan mencecah hampir RM56 bilion berbanding RM34 bilion nilai eksport.

"Nilai import bahan makanan ketika ini mengatasi nilai eksport. Keadaan tidak seimbang ini, tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang dikurniai Ilahi dengan bumi yang subur, bekalan air yang cukup, mendapat pancaran matahari sepanjang masa dan memiliki tenaga kerja yang ramai," katanya.