Lelaki larikan MPV pulang ke kampung

Iklan
MPV milik mangsa yang cuba dilarikan suspek dalam kejadian pada petang Khamis lalu. Gambar kecil: Wan Mohd Zahari

KUANTAN - Seorang lelaki bertindak melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik seorang wanita yang ditinggalkan sementara di hadapan sebuah rumah di Lepar Hilir 1 di sini semata-mata untuk pulang ke kampung di Mentakab.

Dalam kejadian pada petang Khamis itu, anak mangsa berusia sembilan tahun yang berada dalam kenderaan tersebut turut dilarikan sebelum kanak-kanak itu ditinggalkan di satu lokasi.

Iklan
Iklan

Tindakan nekad suspek berusia 35 tahun itu memakan diri apabila dia berjaya ditahan polis ketika memasuki kawasan daerah Maran.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berusia 34 tahun yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak meninggalkan MPV jenis Perodua Alza bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun sementara dia keluar menemui rakannya untuk urusan rawatan kepala.

Iklan

Menurutnya, tindakan mangsa meninggalkan kenderaannya dalam keadaan enjin hidup membuka peluang kepada suspek melarikan MPV itu dengan anak mangsa berada di dalamnya.

Menurutnya, kejadian disedari mangsa selepas kembali ke kenderaannya lima minit kemudian apabila mendapati kenderaan yang ditinggalkan bersama anaknya lesap.

Iklan

"Tindakan suspek melarikan kenderaan tersebut disedari seorang jiran rakan mangsa.

"Mangsa menghubungi talian 999 sebelum bertindak mengejar keretanya bersama saksi kejadian menggunakan kenderaan lain," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa berjaya mengesan dan mengejar kenderaan yang dilarikan.

Jelasnya, ketika tiba di satu lokasi, suspek memberhentikan kenderaan dan meninggalkan anak mangsa sebelum memecut kenderaan.

"Mangsa segera mendapatkan anaknya dan terus mengejar suspek," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek yang ditahan mengaku melarikan kereta mangsa dengan alasan mahu balik ke kampungnya di Mentakab.

"Suspek yang tidak bekerja turut memiliki rekod kesalahan lampau berkait kes dadah.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.