KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menerusi Program Rindu Aku Mau Kaamatan dan Rindu Mok Gawai menyalurkan bantuan makanan asas kepada seramai 970 keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Sabah dan Sarawak bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai baru-baru ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif itu melibatkan warga kerja daripada pelbagai cawangan serta bank bergerak Bank Rakyat yang turun menyampaikan bantuan keperluan dan makanan asas kepada mereka yang dikenal pasti terutamanya di kawasan pedalaman.
"Bank Rakyat mengambil inisiatif ini untuk membantu meringankan beban kos sara hidup mereka bagi mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas yang diperlukan agar Pesta Kaamatan dapat disambut dengan penuh keceriaan selepas dua tahun tiada sambutan diadakan.
"Menerusi pendekatan ini, Insya-ALLAH dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki yang mana seiring dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dan pada masa sama mengeratkan silaturahim kami dengan komuniti di sekitar kawasan operasi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mohammad Hanis berharap sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran bagi menyambut Pesta Kaamatan itu.
Beliau berkata, antara makanan asas yang disumbangkan termasuk gula, garam, tepung, biskut, beras, sardin, teh dan telur.
Menurutnya, antara penerima manfaat inisiatif tersebut di Sabah ialah keluarga dari Kota Kinabalu, Likas, Tawau, Sandakan, Keningau, Labuan, Lahad Datu, Penampang, Kota Belud, Kota Marudu, Putatan, Semporna dan Beaufort.
Di samping itu, katanya, jangkauan komuniti itu turut memanfaatkan masyarakat di sekitar Sarawak di daerah Satok, Simpang Tiga, Miri, Bintulu, Sarikei, Sri Aman, Sibu, Kota Samarahan, Mukah, Matang Jaya, Kapit, Limbang, Kota Sentosa dan beberapa daerah lain.