KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) diminta untuk memberi penjelasan berkenaan isu rumah rosak akibat kerja ubah suai rumah jirannya di Taman Klang Jaya, di sini sejak 10 tahun lalu.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, video dimuat naik di aplikasi TikTok menerusi akaun @rakeshbathumalai yang mendakwa 'MPK makan rasuah, hancurkan rumah saya' tular sejak Khamis dan mencecah tontonan sebanyak 1.2 juta.
Menurutnya, video tersebut menyatakan pengubahsuaian rumah terbabit mendapat kelulusan daripada MPK walaupun jelas kelihatan pengubahsuaian rumah berkenaan tidak mengikut syarat yang ditetapkan.
"Isu ini difahamkan berlarutan selama lebih 10 tahun dan beberapa tindakan dijalankan oleh pegawai MPK bagi menyelesaikan isu ini.
"Namun, pihak kami difahamkan tiada sebarang maklum balas atau kenyataan dari pihak MPK berkenaan isu ini," katanya menerusi surat yang dihantar ke Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan pada Khamis.
Dalam pada itu, Charles memohon agar Noraini dan pihak MPK menjelaskan tuduhan yang dibuat dalam video tular tersebut dan menyediakan semua dokumen terlibat mengenai permasalahan ini dalam satu sidang media.
Katanya, tindakan tersebut perlu dibuat bagi memastikan imej MPK dan kerajaan Selangor dapat dipertahankan.
"Penjelasan dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diperlukan memandangkan terdapat tuduhan berlakunya penyalahgunaan rasuah dalam permasalahan ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz pada Jumaat menjelaskan, permit ubah suai rumah jiran pengadu dan pelan lulus dikeluarkan kepada perunding pada tahun 2012, malah ubah suai mendapat persetujuan jiran.
Katanya, aduan yang dikemukakan oleh pengadu selepas kelulusan diberi diambil tindakan oleh MPK dan perunding dilantik bagi mengenal pasti punca keretakan serta perakuan kekukuhan struktur tambahan rumah tersebut.
"MPK mengalu-alukan pengadu tersebut membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan ke atas mana-mana kakitangan yang disyaki.
"MPK menjunjung tinggi prinsip ketelusan dan integriti serta tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.
"Oleh itu, pihak Majlis tidak teragak-agak memfailkan tindakan undang-undang ke atas individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ke atas pengurusan tertinggi dan pegawai serta kakitangan MPK terutama tuduhan dikaitkan dengan rasuah atau salah laku moral yang lain," katanya pada Jumaat.