KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara memfailkan permohonan untuk menarik diri di Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat daripada mewakili guru yang disaman oleh pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam berhubung isu ‘jenaka rogol’.
Menerusi afidavit sokongan, dinyatakan bahawa permohonan itu dibuat kerana guru berkenaan, Khairul Nizam Sanuddin sudah diwakili peguam lain.
Hal ini katanya, menyebabkan berlaku pertindihan dalam perwakilan terhadap defendan pertama.
Permohonan menarik diri daripada mewakili Khairul Nizam, 44, turut disertakan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Peguam Persekutuan, Muhairi Mohamed Noh.
Pada 26 November 2021, Khairul Nizam memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Rasshidi Ema & Yung dengan menamakan Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam, 43, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Menurut pernyataan tuntutan difailkan, Khairul Nizam yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sebuah sekolah menengah pada 24 April 2021 menyentuh subtopik 'Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual'.
Subtopik itu terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).
Khairul Nizam yang mengajar lebih 20 tahun di sekolah berkenaan menyatakan, sepanjang proses pembelajaran itu, semua pelajar wajib membawa dan merujuk kepada buku teks PJK Tingkatan Lima.
Bagaimanapun, guru berkenaan menafikan membuat lawak lucah atau berkenaan rogol sepanjang sesi pembelajaran PJK itu serta tiada galakan kepada perlakuan rogol.
Malah katanya, ia adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata untuk pemahaman serta pengajaran.
Sebelum ini, media melaporkan guru tersebut yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol, tidak diambil tindakan lanjut oleh polis selepas selesai menjalankan siasatan.
Ain Husniza dan bapanya yang disaman guru terbabit dalam isu gurauan keterlaluan berkaitan perbuatan merogol, akan memfailkan tuntutan balas dengan diwakili oleh peguam, Datuk Sankara Nair.