KUALA LUMPUR - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang hampir melaburkan tirai pada Ahad ini semakin mendapat sambutan yang luar biasa daripada para pengunjung.
Menurut tinjauan Sinar Harian, para penggemar buku hadir di World Trade Centre seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan naskhah yang dikehendaki.
Sempena pesta yang akan tamat itu, Karangkraf tidak ketinggalan dengan mengambil inisiatif memberikan tambahan promosi dan hadiah secara percuma kepada pengunjung.
Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, bermula pada Sabtu, terdapat pelbagai tawaran yang akan ditambah bagi memastikan pengunjung berpuas hati ke pesta tersebut.
Menurut beliau, antaranya adalah mengadakan ‘Happy Hour’ pada waktu tertentu di sebelah petang dan juga tambahan buku atau novel pada harga promosi.
"Untuk hari minggu ini, kita akan adakan 'Happy Hour’. Ia akan dibuat pada waktu petang. Semasa 'Happy Hour’, kita akan tambah 10 peratus potongan lagi pada barang-barang yang tertentu.
"Selain itu, kita juga akan tambah novel bagi diskaun yang disediakan. Contohnya kalau sebelum ini ada 50 novel sahaja, bermula esok kita akan tambah lagi 50. Ini bagi membolehkan penggemar beli dengan lebih banyak.
"Ini semua kita berikan buat pengunjung yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada Karangkraf. Diharapkan pengunjung dapat merebut kesempatan ini dengan cepat selagi stok masih ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Selain itu, beliau berkata, antara acara menarik pada Sabtu adalah Karangkraf akan memberikan hadiah kepada pengunjung yang memakai pakaian berwarna kuning selain penulis buku berkunjung di reruai.
"Pada Sabtu dan Ahad, kita ada beberapa penulis yang akan hadir antaranya Fazrul Ismail, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Mustafar Mohd Suki, Ramlee Awang Murshid dan Datuk Kazim Elias.
"Dalam masa sama, bagi mereka yang berpakaian kuning pula, hadiah akan diberikan sehingga stok masih ada. Jadi pengunjung boleh memakai pakaian berwarna kuning untuk mendapat hadiah dari Karangkraf,” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM4,000 akan diadakan pada Ahad bagi mereka yang membeli barangan melebihi RM100.
"Pada Isnin lepas kita telah buat cabutan ini, dan telah ada tiga pemenang. Dua pemenang mendapat emas dan satu kuali jenama Tefal. Bagi mereka yang membeli barangan melebihi RM100, anda boleh memasuki cabutan bertuah yang disediakan,” ujarnya.
Bawa bagasi untuk borong di pesta buku
Dalam pada itu, menurut tinjauan Sinar Harian, terdapat beberapa individu mengambil inisiatif dengan membawa bagasi ke pesta buku itu.
Pembantu Penyelidik, Wan Siti Fatimah Wan Abdul Rahman, 32, berkata, perkara tersebut telah dilakukannya pada pesta buku yang dianjurkan pada tahun sebelum ini bagi memudahkan urusannya membeli dengan kuantiti yang banyak.
"Sebelum saya bawa bagasi, saya hanya pegang sahaja buku yang dibeli. Buku yang dibeli pula banyak. Jadi saya rasa penat, sakit dan lenguh di tangan serta bahu. Jadi, saya ambil pilihan untuk bawa bagasi.
"Lagipun, saya datang dengan kakak dan anak sedara. Jadi, senang untuk saya pantau pergerakan mereka dan bergerak ke sana dan ke sini. Nak capai buku yang saya nak pun lebih mudah,” katanya.
Turut melakukan perkara yang sama, Pembantu Tadbir di Universiti Sains Malaysia, Ameenor Wahida Ishak, 35, yang berasal dari Pulau Pinang berkata, penggunaan bagasi amat mudah baginya.
Ini kerana, Ameenor berkata, tidak perlu untuk menyandang beg dan memegang plastik buku apabila membeli buku dalam kuantiti banyak.
"Bagasi memang memudahkan. Dari tahun 2017, saya datang bawa ini. Ia memudahkan pergerakan. Saya merupakan 'hantu' novel. Sedia maklum, novel ini tebal, jadi saya tidak larat nak bawa semua.
"Sekali saya datang pun beli sehingga 40 buah novel. Mana larat kalau saya nak pegang sendiri,” ujarnya.