Perak perkenal dua inisiatif pelancongan baharu

Iklan
Kar Hing (dua, kiri) pada sidang media berkenaan.

IPOH - Kerajaan negeri memperkenalkan dua inisiatif pelancongan baharu, 101 Experiences of Perak (Place Making) dan Laman Web tourismperakmalaysia.com (Smart Tourism) dalam usaha menggiatkan lagi promosi pelancongan ke Perak.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing berkata, kedua-dua inisiatif berkenaan telah pun dilancarkan di International Tourismus Boerse (ITB) 2019 yang berlangsung di Berlin baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurut Kar Hing, pengenalan kedua-dua inisiatif berkenaan dilihat selaras dengan perubahan 'trend' dalam industri pelancongan hari ini yang sekali gus telah mengubah citarasa atau pilihan pelancong.

"Place making adalah pembangunan bagi tarikan destinasi serta produk-produk pelancongan yang dipertontonkan serta ditawarkan oleh komuniti; contohnya, pengalaman yang unik kepada pelancong.

Iklan

"Secara tidak langsung, ia menjadi nilai tambah dalam memperkenalkan identiti kita yang tersendiri dari segi nilai lokaliti, sejarah, budaya dan persekitaran.

"Manakala bagi laman web pula, pelancong boleh mendapatkan maklumat lebih terperinci seperti kalendar program pelancongan, maklumat mengenai maskot #kopiro, #perakhohobus dan sebagainya," katanya pada sidang media hari ini.

Iklan

Hadir sama Pengarah Tourism Perak, Zuraida Md Talib dan Pengurus P.O.R.T, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

Tambah Kar Hing, pihak Tourism Perak juga telah menyediakan 'table tent' yang dilengkapi dengan QR Code bagi laman web rasmi tourismperakmalaysia.com dan HOHO Bus Perak.

Katanya, projek berkenaan adalah projek fasa satu yang telah pun berjaya mengumpulkan pelbagai maklumat menerusi video serta foto dalam usaha menarik kunjungan pelancong.

"Kita juga telah memulakan projek fasa dua iaitu pembukaan akaun rasmi 'weibo' dan 'wechat' bagi pasaran pelancong dari China, Hong Kong, Macau serta Taiwan termasuk pengenalan kepada 'content writings pool'.

"Bagaimanapun, kita buka kepada mereka yang pakar dalam 'feature content writing' dan memiliki lebih 50,000 pengikut di media-media sosial.

"Bagi yang berminat, boleh memuat naik artikel, foto, video ke laman web Tourism Perak http://www.tourismperakmalaysia.com+content/Ev/content-community. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 12 April 2019 dan 10 peserta bertuah berpeluang mengikuti lawatan ke destinasi terpilih bersama tetamu VVIP yang akan diumumkan kelak," katanya.

Sementara itu Kar Hing berkata, warga bandaraya Ipoh berpeluang untuk mengunjungi produk pelancongan terbaharu di Ipoh, Bazar Pop yang bakal bermula April ini.

Katanya, secara keseluruhannya bazar yang akan diadakan pada minggu pertama serta minggu ketiga setiap bulan itu bakal mengetengahkan pelbagai hasil seni serta kreativiti anak tempatan.

"Bazar ini dibuka mulai 6 petang hingga 12 tengah malam. Pada 6 April ini kita akan mulakan bazar ini di Taman Kanak-Kanak (TKK) dan pada 20 April di Medan Selera Dato' Sagor.

"Akan ada juga persembahan pentas bagi memeriahkan lagi suasana," katanya.