SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan berhubung insiden air berwarna putih dan bau seakan-akan klorin dikesan di Sungai Langat pada jam 3.30 petang Jumaat.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan mendapati punca aliran air berwarna putih disebabkan terdapat pelepasan efluen daripada 'sump' (takungan bahan buangan) milik sebuah premis kilang.
Menurutnya, kilang itu dipercayai melepaskan aliran air putih ke sungai tanpa melalui titik pelepasan akhir efluen premis ditetapkan.
"Pengaktifan kod kuning selaras dengan manual kecemasan pencemaran sumber air negeri Selangor melibatkan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, LUAS telah menjalankan tiga pensampelan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut.
"LUAS juga telah mengeluarkan arahan kepada premis tersebut berdasarkan Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan segera pelepasan efluen tersebut yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan kerja pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang," katanya.
Loy Sian memberitahu, pada masa ini, proses pembersihan sedang dilakukan oleh pihak premis.
Jelas beliau, anggaran jarak lokasi punca pencemaran ke tiga muka sauk terdekat adalah Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2, sejauh 18 kilometer (km); LRA Bukit Tampoi; 29.5 km dan LRA Labohan Dagang kira-kira 40.9 kilometer.
Katanya, tindakan pantas kawalan di tapak telah berjaya mengelakkan potensi henti tugas LRA.
Beliau memberitahu, langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air di negeri ini terpelihara.
"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.
"Dalam kes ini, LUAS akan membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun," ujar beliau.