Penjawat awam perlu berintegriti, jaga amanah

Iklan
Gambar dari kiri: Mohamed Arshad, Sevan

SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai tidak berintegriti ekoran menyandang jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa melaksanakan tugas sewajarnya.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, penjawat awam seharusnya menjaga maruah dan institusi kerajaan kerana golongan ini diamanahkan untuk menjaga negara.

Iklan
Iklan

"Penjawat awam tidak kira apa jawatan sekali pun, mesti mempunyai integriti dalam melaksanakan tugas. Kalau tahu gaji diperoleh tanpa lakukan apa-apa kerja, sepatutnya ada perasaan malu (untuk terima).

"Mohd Sidek dianggap tidak berintegriti dan beliau patut pulangkan semula wang yang diperoleh sepanjang menjawat jawatan Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana itu adalah wang rakyat,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamed Arshad turut mengingatkan pihak yang bertanggungjawab terhadap GLC tidak melantik individu tiada kredibiliti untuk menjawat jawatan penting dalam syarikat berkenaan.

"Jadikan kes ini sebagai pengajaran, jangan ingat apabila seseorang itu ada jawatan tinggi dalam kerajaan, beliau boleh dilantik tanpa perlu jalankan tugas dalam GLC tetapi dapat gaji lumayan.

Iklan

"Jangan pentingkan diri. Mana ada orang nak bagi duit ‘percuma’ tanpa perlu kerja, ini tak masuk akal,” tegas Mohamed Arshad.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy pula menganggap Mohd Sidek telah mencalarkan imej penjawat awam ekoran tidak melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan.

"Ini jelas bukan sahaja salah guna kuasa malah membelakangkan kepercayaan rakyat kerana kerajaan dan pemimpin diberi amanah oleh rakyat.

"Hanya kerana rakyat mengundi dan memilih mereka, ia tidak memberi kuasa mutlak untuk mereka lakukan lantikan politik dan sebagainya.

"Dalam kes ini pula, mereka yang dilantik tidak buat kerja namun mendapat gaji lumayan sekali gus menunjukkan tiada amanah dan kejujuran. Ini adalah wang rakyat.

"Duit pembayar cukai tidak boleh disalah guna untuk kepentingan pemimpin. Individu yang menerima jawatan juga perlu bertanggungjawab,” katanya.