Kolej Vokasional Keningau johan Teater Pembaca di Perancis

Iklan
Emelly (kanan) bersama rakan sepasukannya memenangi Teater Pembaca menerusi festival seni 'Art Marathon in France' yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

KOTA KINABALU - Kolej Vokasional Keningau (KVK) di Keningau terus melakar nama apabila sekumpulan pelajarnya dinobatkan johan Teater Pembaca menerusi festival seni 'Art Marathon in France' pada Ahad lalu.

Kemenangan itu diraih tujuh remaja iaitu Emelly Teo Sin Yee, Laetitia Anwen Ng, Jasmine P Molidu, Aelcie Anthony, Glenys Lajurus David, Chris Nathaniel Leonard Willon dan Christen Glenn Majani menerusi rakaman persembahan mereka bertajuk 'Galap' yang boleh ditonton di Youtube.

Iklan
Iklan

Menurut ketua pasukan, Emelly pertandingan itu diadakan secara dalam talian dan disertai pada Mei lalu bersama enam rakannya di kolej berkenaan.

"Kami bertujuh bersama-sama menjayakan video ini dengan menggunakan kreativiti sendiri menerusi apa yang dipelajari di dalam kelas.

Iklan

"Kami tahu mengenai pertandingan ini dari cikgu dan penyertaannya bagi kategori 18 tahun. Kami menyertainya hanya sekadar untuk mencuba kerana sebelum ini memang kami aktif berlakon jika ada pertandingan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Emelly berkata, banyak cabaran yang dilalui mereka untuk menghasilkan video lakonan itu termasuk kekurangan bahan hiasan dan lokasi rakaman.

Iklan

"Jadi video berdurasi empat minit 44 saat ini kami rakam di bilik asrama masing-masing dan beberapa lokasi lain di dalam sekolah.

"Memandangkan kami memilih cerita fantasi berkaitan ikan duyung yang berjudul 'Galam', kami menggunakan kemahiran bersolek bertemakan solekan ikan duyung yang dipelajari di kolej untuk menghasilkan video itu," katanya.

Tambah Emelly lagi, mereka tidak menyangka dapat menjuarai pertandingan itu kerana saingan sudah tentu sengit memandangkan ia adalah pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Juri pun saya dimaklumkan dari luar negara dan saingan pula daripada pelbagai negara kerana ia dianjurkan dari Perancis.

"Kami tidak menyangka dinobatkan sebagai pemenang dan ini merupakan kemenangan pertama kami di peringkat antarabangsa," katanya.

Sebelum itu, KVK turut berjaya mengharumkan negara apabila salah seorang gurunya, Mohd Al Khalifa Mohd Affnan, 36, dinobatkan sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022 baru-baru ini.

Kemenangan Mohd Al Khalifa itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau menerusi hantaran di Facebook Istana Negara pada 27 Mei lalu.