Pasar Datuk Keramat terbakar lagi

Iklan
Foto - FB Bomba Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Pasar Datuk Keramat (pasar lama), di Jalan Keramat Dalam, di sini, terbakar sekali lagi awal pagi tadi selepas insiden sama pada Mac tahun lepas.

Ketua Komander Operasi Mohd Fahmi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.30 pagi tadi sebelum 47 anggota dari Balai Bomba Polis (BBP) Keramat, BBP Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak bersama lima jentera ‘Fire Rescue Tender (FRT)’ dikejarkan ke lokasi.

Iklan
Iklan

"Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 1.40 pagi, api sedang marak dan kebakaran melibatkan lot kedai dengan anggaran kemusnahan 50 peratus disebabkan bahan binaan terdiri daripada kayu.

"Kebakaran turut melibatkan sebahagian rumah berhampiran yang dianggar mengalami kemusnahan 10 peratus,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Iklan

Mohd Fahmi berkata, api berjaya dikawal kira-kira 2.11 pagi dan tiada mangsa terlibat dalam insiden itu manakala punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 40, berkata kebakaran tersebut menyebabkan beberapa letupan kecil.

Iklan

Menurutnya pasar yang terbakar itu menjual pakaian terpakai. - Bernama