KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, kata seorang penganalisis.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 0.5 mata sekali lagi untuk mengurangkan inflasi yang melambung tinggi di negara itu selepas mesyuarat FOMC tamat pada 14 hingga 15 Jun 2022.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan 50 mata asas dalam Kadar Dana Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) nampaknya telah ditetapkan harga kerana kadar inflasi berkemungkinan kekal tinggi.
Tiada tindakan sewajarnya dilakukan oleh Bank Pusat Eropah (ECB) pada Khamis nampaknya memberi kelebihan lagi kepada dolar AS dengan Indeks Dolar AS (DXY) kini berada pada lebih 103 mata.
"Oleh itu, dolar AS/ringgit akan kekal sekitar RM4.39-RM4.40 minggu depan. Ia merupakan prospek mencabar kerana Fed juga berkemungkinan menambah satu lagi kenaikan 50 mata asas dalam pada mesyuarat bulan Julai kelak.
"Selagi tiada petunjuk bahawa Fed akan berhenti melakukan tindakan pada masa depan, dolar AS akan terus menjadi mata wang pilihan utama," katanya kepada Bernama.
Pada Khamis, ECB berkata, ia akan menamatkan skim pembelian bon pada 1 Julai dan memberi petunjuk akan berlaku kenaikan kadar faedah mulai bulan depan ketika ia berdepan dengan inflasi yang tinggi.
Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS dalam persekitaran jangkaan bahawa prospek ekonomi dalam terdekat ini nampaknya mencabar.
Ringgit berada pada paras 4.4 berbanding mata wang AS pada Jumaat (10 Jun).
Bagi asas mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.4000/4030 pada Jumaat daripada 4.3870/3910 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama pada asas Jumaat ke Jumaat.
Ringgit naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1856/1880 daripada 3.1947/1981pada minggu sebelumnya dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2870/2895 daripada 3.3728/3759.
Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6618/6650 daripada 4.7143/7186 dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.4784/4822 daripada 5.5171/5221. - Bernama