KOTA BHARU - Seorang pembantu kedai batik di sini teruja dapat mengerjakan haji hasil tabungan duit raya yang disimpan sejak kecil.
Muhammad Iqbal Rosli, 23, dari Taman Bakti di sini berkata, sejak kecil ibu bapanya menyimpan semua duit raya yang diperoleh ke dalam akaun Tabung Haji.
Menurutnya, ketika usia lapan tahun, ibu bapanya telah membuat pendaftaran haji selepas wang simpanan mencecah RM1,500.
"Ketika berusia 14 tahun nama saya terpilih untuk mengerjakan haji, namun disebabkan belum cukup umur hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Lambaian Kaabah Parlimen Pengkalan Chepa pada Jumaat.
Muhammad Iqbal berkata, apabila umur mencapai usia 18 tahun dia mula membuat rayuan untuk mengerjakan ibadah haji.
Katanya, pada Disember lalu sekali lagi namanya terpilih untuk menjejak kaki ke tanah suci pada 26 Jun ini.
"Sebaik sahaja nama terpilih, saya terus membuat persiapan dengan menghadiri kursus haji setiap minggu yang dikendalikan oleh Tabung Haji," katanya.
Muhammad Iqbal turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ibu bapanya, Rosli Hassan, 63, dan Rosanizah Hussin, 61, yang prihatin dalam memastikan anak-anak menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
"Sejak kecil lagi saya dan enam lagi adik-beradik lain telah didaftarkan haji oleh ibu bapa hasil tabungan duit raya.
"Ibu dan ayah sudah selamat mengerjakan rukun Islam kelima itu pada 2008," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Iqbal berharap usaha yang dilakukan oleh ibu bapanya itu dapat menjadi contoh kepada orang lain.
Katanya, diharap segala urusan mengerjakan haji di tanah suci berjalan dengan lancar.