TONGGAK Wales, Gareth Bale memberi amaran jadual padat ketika ini dijangka memberi kesan buruk kepada prestasi pemain menjelang Piala Dunia Qatar 2022 pada November ini.
Tegas bekas pemain Real Madrid itu, banyak perkara berkaitan aktiviti bola sepak terutamanya jadual perlawanan yang perlu diharungi pasukan memerlukan kajian semula pihak bertanggungjawab.
"Ada seseorang memberitahu saya bahawa Kevin De Bruyne boleh bermain 79 perlawanan musim depan dan berehat selama tiga minggu. Adalah mustahil untuk bermain pada tahap yang tinggi dengan jumlah permainan jaraknya terlalu rapat.
"Saya percaya akan ada kesan dalam jangka panjang kerana badan manusia tidak dapat menangani kalendar perlawanan seperti itu tahun demi tahun. Sesuatu perlu berubah dan orang yang menganjurkan permainan perlu melakukan sesuatu segera," katanya.
Namun menurutnya, perkara ini melibatkan penghasilan perolehan menerusi penganjuran kerana bola sepak adalah perniagaan dan mereka mahu membuat lebih banyak wang.
"Demi kebajikan para pemain, saya percaya tiba masa wang perlu diabaikan dan mereka perlu menjaga pemain kerana tanpa pemain tiada produk,” ujarnya.
Untuk rekod kebanyakan pemain kini memberi tumpuan kepada pasukan negara masing-masing sebagai persiapan mengharungi temasya di Qatar 2022 pada November depan, selain pusingan Piala Negara-Negara Eropah dan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika selepas berakhir komitmen dengan kelab dalam saingan domestik dan kejuaraan kelab Eropah.