IPOH - Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM654 juta bagi pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Meru Raya di sini yang terbesar di rantau Asia Tenggara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kos berkenaan adalah lebih tinggi berbanding bajet asal RM500 juta yang diperuntukkan sebelum ini.
Menurutnya, penambahan bajet itu adalah disebabkan kenaikan kos harga barang keperluan asas seperti simen dan besi yang digunakan bagi tujuan pembinaan.
"Walaupun di peringkat awal kos RM500 juta, kita lihat ada peningkatan dari segi barang-barang keperluan asas seperti simen dan besi dan akhirnya kita dapati peruntukan kos keseluruhan diperlukan RM654 juta.
"Saya telah mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat supaya bersiap sedia dan memberi perhatian terhadap pembangunan projek ini yang akan sentiasa dipantau oleh kerajaan negeri melalui Menteri Besar dan Sultan Perak sendiri," katanya ketika sidang akhbar sempena majlis pecah tanah Kompleks Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Pengerusi Lembaga Perkeso, Profesor Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Saravanan berkata, pembinaan kompleks di atas tapak 37 hektar dan dijangka siap penghujung 2024 itu turut mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mencadangkan reka bentuk yang ikonik dan berkonsepkan budaya negeri Perak.
Katanya, penubuhan pusat itu bukan sahaja menjadi mercu tanda moden dan baharu di Perak yang membawa revolusi dalam penawaran perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan di utara tanah air, malah sebagai usaha menambah pendapatan Perkeso dan kerajaan negeri.
"Setelah pusat rehabilitasi ini beroperasi sepenuhnya, hampir 400 pekerjaan tetap akan diwujudkan yang akan memberi kesan positif kepada pembangunan modal insan dan pasaran pekerjaan di Perak serta kawasan sekitarnya.
"Pengoperasiannya turut akan mempergiatkan aktiviti pelancongan domestik dan menggilap potensi Perak sebagai antara lokasi pilihan industri pelancongan kesihatan (health tourism) yang utama di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri menyambut baik penubuhan kompleks kesihatan itu dan telah memainkan peranan sebagai pemudah cara sehingga tapak projek terbabit diluluskan.
"Kita ambil masa lebih kurang satu tahun untuk menyelesaikan perkara-perkara berkaitan dengan pentadbiran tanah sehinggalah dapat diserahkan kepada Perkeso bagi tujuan pembinaan pusat ini," katanya.
Pusat Rehabilitasi Perkeso tersebut merupakan yang kedua di negara selepas Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka bagi menampung keperluan Orang Berinsurans Perkeso mendapatkan perkhidmatan rehabilitasi khususnya mereka dari zon utara.
Kompleks bertaraf antarabangsa itu bakal memuatkan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa dan akan menumpukan kepada rehabilitasi perubatan serta vokasional yang holistik berdasarkan konsep rehabilitasi sepanjang hayat (whole life-cycle rehabilitation concept).
Selain itu, kompleks kesihatan itu juga akan bertindak sebagai Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) yang canggih dan unggul bagi Program Rehabilitasi dan Return To Work, bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat Asia Tenggara dan dunia.
Antara kemudahan dan perkhidmatan lain yang akan disediakan termasuklah Neurorobotic Rehabilitation, Advanced Virtual Rehabilitation, Intelligent Neuro-Robotic Gym dan Cybernics Research Centre, Physical Rehabilitation, Pediatric Rehabilitation, Geriatric Rehabilitatino, Cancer Rehabilitation, Burns Rehabilitation, Vocational Retraining dan Advanced Return To Work and Recreational Programme.