Malaysia harus tegas kecam Israel dan Trump

Iklan
Raja Kamarul Bahrin Shah

KUALA LUMPUR – Malaysia wajar mengambil pendirian tegas dan menyeluruh bukan hanya mengutuk Israel tetapi juga Amerika Syarikat khususnya Presiden Donald Trump.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, salah satu agenda utama mesyuarat Kabinet yang berlangsung di Langkawi pada Jumaat ini ialah membuat satu keputusan tentang provokasi Malaysia terhadap Israel.

Iklan
Iklan

"Saya rasa kalau kerajaan Malaysia nak buat satu pendirian, pendiriannya mesti lebih menyeluruh bukan hanya mengutuk Israel tetapi juga Amerika Syarikat.

"Hal ini kerana Amerika Syarikat yang memberi sokongan dan juga memberi ‘peluru’ kepada Israel untuk membuat begitu banyak provokasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tegasnya, jika Malaysia benar-benar ingin melaksanakan kecaman ia bukan hanya bertumpu kepada Israel sahaja malah penyokong kuatnya yang mendorong negara itu menjadi lebih agresif.

"Kalau kita (Malaysia) nak buat satu kecaman, kita mesti mengecam penyokong kuat Israel iaitu Amerika Syarikat terutamanya Trump.

Iklan

"Sebab, beliau sendirilah yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk Israel menjadi lebih agresif, oleh itu jugalah Israel tak makan saman, mereka buat apa yang mereka suka,” jelasnya.

Beliau menambah ini sudah insiden kedua yang dilakukan Trump, sebelum ini pada 6 Disember 2017, Trump telah mencipta sejarah sebagai Presiden pertama Amerika Syarikat mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Pada masa yang sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Golan: Trump pemimpin dunia hipokrit!

Terbaru pada 26 Mac 2019, Trump menandatangani pengisytiharan mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas wilayah Bukit Golan yang dipertikaikan,sedangkan kawasan itu adalah wilayah sempadan dirampas Zionis daripada Syria pada 1967.

Tindakan Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menandatangani dokumen pengiktirafan Bukit Golan sebagai wilayah milik Israel telah mendapat kecaman hebat dunia Islam.

Arab Saudi mengetuai negara-negara Islam mengutuk tindakan Trump yang mengesahkan wilayah Bukit Golan sebagai wilayah sah Israel.

Menurut kenyataan Arab Saudi segala usaha mengiktiraf tindakan Israel tidak mengubah sebarang fakta bahawa Israel menceroboh secara haram.