JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat dakwaan pengguna bahawa terdapat peniaga ayam yang menjual ayam sehingga RM13 sekilogram melebihi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga berkenaan dikatakan menjual ayam dengan harga tersebut secara terang-terangan sedangkan perbuatan itu melanggar peraturan.
"Setakat ini sudah beritahu penguat kuasa supaya memantau sebab kita ada laporan mereka yang buat (jual ayam melebihi harga ditetapkan) bukan secara tersorok tetapi sudah berani ambil gambar dan jual RM12 atau RM13 sekilogram.
"Ini melanggar harga kawalan kita iaitu RM8.90 sahaja. Kita akan tengok mengapa perkara ini berlaku. Ada yang kata peniaga dapat dengan harga yang mahal, macam mana nak jual dengan harga tersebut (harga yang diperoleh daripada pembekal). Itu alasan yang diberi.
"Jadi kita akan siasat sebab kita dah tentukan harga dari ladang RM5.60 dan kerajaan beri subsidi kepada ladang ayam RM1.40 sekilogram.
"Jadi harga ayam dari ladang mesti jual kepada pemborong RM5.60 sekilogram, campur subdisi kerajaan RM1.40 itu jumlahnya RM7. Jadi sepatutnya, tidak ada alasan untuk jual mahal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor di Angsana Mall Johor Bahru di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azman Mohd Yusof; Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han dan Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.
Beliau berkata, setakat ini pihak KPDNHEP sudah mengenakan kompaun RM270,000 terhadap peniaga ayam yang ingkar dengan melibatkan 1,114 kes di seluruh negara dari 5 Februari lalu hingga Jumaat.
Selain itu, beliau berharap ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing akan menganjurkan jualan Keluarga Malaysia dengan harga yang rendah bagi membantu rakyat.
Rosol mencadangkan pengguna supaya memuat turun aplikasi Price Catcher yang disediakan KPDNHEP bukan sahaja untuk melihat harga ayam tetapi juga membandingkan harga barang keperluan harian lain sebelum membuat pembelian.
Menurutnya, masih ramai pengguna tidak mengetahui kewujudan aplikasi berkenaan yang amat berguna untuk melihat harga barang keperluan harian di kawasan mereka terutama di pasar raya berdekatan.
Mengenai bekalan ayam di seluruh negara, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan kepada pihaknya bahawa bekalan ayam setakat ini sehingga Hari Raya Aidiladha adalah mencukupi.
"MAFI urus semua sekali dan kita cuma pastikan bekalan ada atau tidak ada. Setakat tiada isu berkenaan bekalan ayam," katanya.